Sekilas
- Drama Suamiku Anak Mak terus hangat diperkatakan selepas lapan episod bersiaran, dengan jalan cerita dan lakonan yang mendapat perhatian ramai.
- Video behind the scenes menunjukkan Keith Foo mengalami kecederaan sebenar ketika melakonkan babak menggunakan pisau, menarik minat netizen.
- Drama terbitan Astro ini disiarkan setiap Isnin hingga Khamis di Astro Ria dan boleh distrim di Sooka serta Astro GO, menampilkan pelakon popular seperti Emma Maembong dan Izzue Islam.
Selepas lapan episod bersiaran, drama Suamiku Anak Mak terus menjadi antara drama yang hangat diperkatakan di media sosial.
Bukan sahaja jalan ceritanya berjaya mencetuskan pelbagai reaksi penonton, malah lakonan barisan pelakonnya turut menjadi perhatian ramai.
Terbaharu, satu perkongsian di sebalik tabir (behind the scenes) menerusi akaun media sosial Bambam Studios telah mencuri perhatian apabila memaparkan Keith Foo yang sedang menjayakan salah satu babak dalam drama berkenaan.
Menerusi video tersebut, Keith Foo dilihat berada dalam keadaan mengalami kecederaan ketika melakonkan babak yang melibatkan penggunaan pisau sebagai prop.
Paparan berkenaan pantas menarik perhatian netizen, apatah lagi babak tersebut memperlihatkan sisi lain proses penggambaran yang jarang disaksikan penonton.
Perkongsian tersebut merupakan rakaman di sebalik tabir, melaluinya dapat dipastikan kecederaan yang dipaparkan itu benar-benar berlaku ketika beliau melakonkan babak berkenaan.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen memberikan reaksi positif terhadap komitmen dan persembahan Keith Foo dalam menghidupkan watak Cikgu Haris.
Ada yang memuji dan tidak kurang juga yang masih meluahkan rasa geram terhadap Cikgu Haris, membuktikan watak yang dibawakan Keith Foo itu berjaya mencetuskan pelbagai emosi dalam kalangan penonton.
Menariknya, fenomena ini turut memperlihatkan bagaimana penonton bukan sahaja mengikuti perkembangan jalan cerita, malah turut berminat untuk melihat proses di sebalik pembikinan drama berkenaan.
Untuk rekod, Suamiku Anak Mak merupakan drama terbitan Astro yang mula bersiaran pada 26 Oktober 2026, setiap Isnin hingga Khamis, 10.00 malam menerusi slot MegaDrama di Astro Ria (Saluran 104). Drama ini juga boleh distrim menerusi platform sooka dan Astro GO.
Dibintangi Emma Maembong, Keith Foo, Dian P. Ramlee dan Izzue Islam, drama ini terus mengundang perbualan hangat dengan konflik rumah tangga serta hubungan kekeluargaan yang menjadi tunjang penceritaannya.
Sumber - TikTok