Sekilas
- Rezaril Keflin Keifli, anak kepada Linda Rafar, sebak memeluk bapanya selepas majlis akad nikah berlangsung di Cava Hall, Petaling Jaya.
- Rezaril selamat bergelar suami kepada Nurizzati Syafiqah dengan sekali lafaz, disaksikan oleh bapa pengantin perempuan dan jurunikah.
- Pasangan pengantin bertukar hantaran dan mas kahwin RM300, manakala majlis turut disaksikan ahli keluarga serta rakan terdekat.
Anak kepada penyanyi dan pelakon, Linda Rafar iaitu Rezaril Keflin Keifli tidak dapat menahan sebak ketika memeluk bapanya, Keflin Keifli sejurus selesai majlis akad nikah.
Momen penuh emosi itu turut menyaksikan Keflin membalas pelukan anaknya dalam keadaan sebak sebelum mengucup dahi Rezaril sebagai tanda kasih seorang bapa.
Detik menyentuh hati tersebut turut mengundang perhatian tetamu yang hadir, terdiri daripada ahli keluarga serta rakan terdekat kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Linda juga dilihat mengesat air matanya selepas memeluk Rezaril.
Terdahulu, Rezaril selamat bergelar suami kepada pilihan hatinya, Nurizzati Syafiqah Datuk Ishak dengan sekali lafaz.
Dalam sebuah majlis yang berlangsung di Cava Hall, Petaling Jaya itu, kedua pasangan mempelai kelihatan begitu cantik dan segak dalam persalinan serba putih.
Pasangan pengantin itu telah dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Ishak, dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Nur Fahmi Zazli, tepat jam 9.30 pagi Sabtu.
Pengantin lelaki kemudiannya menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan kepada umum.
Rezaril juga turut menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Rezaril dan Ika telah mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober lalu.
Untuk rekod, Rezaril merupakan anak hasil perkahwinan pertama Linda dengan bekas suaminya, Keifli Othman, pada tahun 1999 sebelum mereka bercerai pada 2004.
Selain Rezaril, pasangan ini turut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Rezaiman Keiflin, namun meninggal dunia pada 2014 akibat kanser perut.
Linda kemudian mendirikan rumah tangga dengan pelakon Syed Aiman pada 2 Disember 2006.
Foto: Media Hiburan