Pelakon Azhan Rani teruja kerana pertama kalinya menjadi peneraju utama filem dalam Bikin Filem.

Menurut Azhan ia satu pengalaman yang sangat mahal dan bermakna baginya sebagai seorang anak seni.

“Saya teruja kerana Bikin Filem merupakan filem pertama yang berani mempertaruhkan saya sebagai pelakon utama.

“Boleh dikatakan, ini pengalaman dan peluang yang sangat mahal buat diri saya. Ia mahal kerana kepercayaan pengarah memberikan watak dan karya besar ini buat nama kecil Azhan Rani dalam dunia sinema Malaysia ini,” katanya.

Azhan berkongsi perkara tersebut kepada Astro Gempak selepas dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Ditayangkan secara eksklusif di Astro First, Bikin Filem mendedahkan realiti dalam pembikinan filem dan dalam masa yang sama menyuntik elemen komedi yang berbeza.

Berkongsi pengalaman menjayakan filem tersebut, Azhan memberitahu ia penggambaran yang unik kerana seolah-olah mempunyai dua produksi dalam satu filem.

“Perjalanan suasana sepanjang pengambaran juga sangat unik seolah-olah bagai duduk dalam cermin kerana dilihat seperti ada dua kumpulan produksi filem yang sedang bekerja membikin filem.

“Satu kumpulan dalam realiti dan satu lagi kumpulan dalam cerita ini iaitu saya dan barisan pelakon yang lain. Ia menyeronokkan walapun agak kekok sedikit diawalnya.

“Mana tidaknya, ia seperti kru produksi bagaikan sedang ‘shoot’ wajah masing-masing sepanjang pengambaran kerana Bikin Filem bukan sahaja cerita tentang kehidupan mereka yang bergelar artis tapi seluruh bahagian mereka yang di depan kamera dan di belakang tabir. Ia sangat menghiburkan,” katanya lagi.

Selain Azhan, filem yang diarahkan oleh pengarah Latiff Azmi atau lebih dikenali sebagai Mohd Yeop Hitler itu telah dibintangi oleh Sherry Alhadad, Amerul Affendi, Mark Adam, Azrel Ismail, Sharifah Sakinah, Scha Alyahya, Erra Fazira, Azhar Sulaiman, Zain Hamid, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Kodi Rasheed, Kamarool Hj Yusoff, ‘Raja Dubsmash Malaysia’ Ucop dan ramai lagi.

Bikin Filem mengisahkan tentang seorang bekas bintang filem terkenal dengan gosip-gosipliar, Khaty (Sherry Alhadad) yang ingin menerbitkan sebuah filem bertajuk Dendam Berbalas kerana baru bercerai. Khaty ingin pengarah Rahim G (Azhan Rani) untuk mengarah filem tersebut.

Namun, pelbagai cabaran dan insiden lucu mencuit hati berlaku sepanjang perjalanan pihak produksi menjayakan filem tersebut. Malah setiap kru, barisan pelakon dan pengarah mempunyai macam-macam kerenah dan ragam tersendiri yang menghiburkan.

Saksikan filem Bikin Filem yang berada di pawagam rumah anda, Astro First mulai 5 November 2020.
Untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim filem ini di Astro Go atau On Demand.

Mudah sahaja, dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.