Kemenangan tidak berpihak kepada pelakon filem Prebet Sapu, Amerul Affendi apabila tewas kepada dua pelakon kanak-kanak dari India iaitu Asik Shaikh dan Arif Shaikh menerusi filem Two Friends yang mengungguli kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Malaysia Golden Global Awards (MGGA) 2022 yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini.

Namun, calon tempatan tidak pulang dengan tangan kosong apabila Muzammer Rahman berjaya memenangi trofi bagi kategori Lakon Layar Terbaik.

Muzammer berkata, dia tidak menyangka akan membawa pulang anugerah berkenaan dan berterima kasih kepada barisan juri profesional yang menghargai karyanya.

"Bila kami buat filem ini, kami hanya mahu filem habis disiap dan tidak pernah terfikir untuk ke anugerah ini. Saya tujukan anugerah ini kepada pembikin filem muda. Saya berharap mereka semua boleh buat filem yang lebih baik daripada ini," katanya.

Sementara itu, anugerah utama MGGA 2022 menerusi kategori Filem Terbaik diungguli filem kerjasama Iran dan Afghanistan, Drowning in Holy Water.

Filem Full Time dari Perancis pula berjaya meraih dua kategori iaitu Pengarah Terbaik, Eric Gravel dan Pelakon Wanita Terbaik, Laure Calamy.

Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pula dimenangi Afia Jahin Jaima menerusi filem kerjasama Bangladesh dan Singapura, Rehana, manakala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dianugerahkan kepada Kim Hyu-Bin menerusi filem dari Taiwan, The Silent Forest.

Anugerah Pencapaian Hayat pula diberikan kepada pengarah filem dari Taiwan, Hou Hsiao-Hsein dan penerbit dari Korea Selatan, Kim Dong-Ho.

Sinematografi Terbaik dimenangi Lim Teck Siang menerusi filem usahasama Filipina dan Singapura, Whether the Weather is Fine.

Seterusnya, filem kerjasama Perancis dan Kemboja, White Building memenangi anugerah Harapan Baharu dan filem The Story of Southern Island berjaya membawa pulang anugerah Pilihan Penonton.

Anugerah yang dihoskan Elaine Daly dan Hansen Lee itu kembali diadakan selepas dua tahun tidak dapat dijayakan berikutan pandemik Covid-19.

Turut hadir sebagai penyampai anugerah ialah Khabir Bhatia, Puan Sri Tiara Jacquelina dan U-Wei Shaari, manakala penyanyi popular, Ning Baizura dijemput memberikan persembahan istimewa.


Sumber: Harian Metro