Masih belum cukup setahun berpisah dengan personaliti terkenal Kim Kardashian, rapper Kanye West kini dikabarkan bercinta dengan model Irina Shayk.

Memetik laporan HollywoodLife, sumber terdekat memaklumkan Kanye dan Irina sebenarnya sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Malah, mereka juga kerap terserempak di acara-acara fesyen yang dihadiri sejak sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Status Irina dalam industri fesyen yang disegani ramai membuatkan Kanye tertarik dan meminatinya.

"Kanye dan Irina sudah mengenali antara satu sama lain sejak beberapa tahun lalu, mereka pun kerap bertemu di acara fesyen.

"Mereka berdua mulai rapat tambahan lagi Kanye ada menghubungi model berkenaan bulan lalu.

"Kanye suka Irina yang kreatif, tahu berfesyen dan disegani dalam industri tersebut, malah dia juga dikatakan mengenali Irina dengan lebih mendalam berbanding perkenalannya dengan Kim dahulu," kata sumber.

Terdahulu, Kim memfailkan cerai terhadap Kanye pada Februari selepas beberapa bulan tidak tinggal sebumbung.

Dua figura yang pernah menjadi pasangan ikonik itu berkahwin pada 2014 di Florence, Itali.

Hasil perkahwinan, mereka mempunyai empat cahaya mata iaitu North, Saint, Chicago dan Psalm.