Skip to main content

Berita Tempatan

Kazim Elias Jadi ‘Orang Tengah’ Bantu Warga Emas Bertemu Jodoh

kazimbantujodoh.jpg
Pasangan warga emas yang mengikuti kelas pengajian agama yang diasaskan oleh Datuk Mohd Kazim Elias berkahwin semalam.

Kazim Elias menjadi ‘orang tengah’ membantu pasangan Hussain Abdul Rahman, 84, dan Kamsiah Adam, 66, disatukan dengan ikatan yang sah.

Pasangan tersebut bernikah di surau di Pusat Pendidikan Al Barakah tersebut.

Pengacara program Kalau Dah Jodoh di Astro Oasis itu berkata pasangan tersebut merupakan yang keenam membabitkan pelajar kelas pengajian agama yang bertemu jodoh di pusat pendidikan berkenaan.

"Hussain merupakan pelajar yang paling senior dari segi usia di sini. Kami bersyukur dapat menyatukan mereka sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara dua keluarga," katanya.

Sementara Hussain turut berterima kasih kepada Kazim.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih dengan cadangan Ustaz Kazim sebab dia melihat saya keseorangan sejak saya mula mengikuti kelas di sini tiga bulan lalu.

"Ini perkahwinan saya yang ketiga dan saya berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat. Saya berkahwin kerana mahu menjalankan amal ibadat dengan lebih tenang di sini apabila ada insan yang sudi menjaga saya," kata bapa kepada tujuh anak serta 17 cucu itu.

Sementara itu, Kamsiah yang kematian suami sejak 37 tahun lepas mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga kerana terpikat dengan peribadi Hussain yang taat mengamalkan ajaran agama selain mahu menjaga pasangannya itu yang mengalami sakit lutut.

Sumber/ Foto : Bernama

Advertisement

Must-Watch Video