Pelakon, Ardell Aryana juga tidak ketinggalan turun padang dalam misi menyelamatkan mangsa banjir.

Menerusi akaun Instagramnya, Ardell memuat naik sepotong video pendek yang merakamkan detik-detik menyelamatkan mangsa banjir.

Menurut Ardell, dia berasa terharu melihat kerjasama rakyat Malaysia yang tidak putus asa memberikan bantuan.

“Alhamdulillah bermula jam 2 tengah hari atur perjalanan bot. Jam 7am kami selesai apa yang termampu, walaupun ramai turun membantu masih tak mampu tampung dan bantu setiap tempat.

“Sungguh saya nampak kepenatan semua, semoga Allah reda pada semua yang menolong tadi. Doktor, bomba, askar, Jpam serta sukarelawan yang lain. Semoga Allah memberi kan kesabaran kekuatan buat semua yang melalui ujian ini.

“Saya nampak… MasyaAllah kerjasama semua tanpa kira bangsa dan agama. Melayu, Cina, India, bersatu hati membantu.

“Ada yang sediakan makanan, ada yang turun bersama bantu keluarkan mangsa terperangkap dalam banjir. Dengan keadaan gelap gelita, line hp tiada, basah kuyup,” kongsinya.

Tambah Ardell lagi, dia berasa lega apabila mereka berjaya menyelamatkan mangsa banjir termasuklah haiwan.

“Kami bermula jam 12 malam sehingga 6:50 pagi pun sejuk sampai menggigil ini kan mereka yang terperangkap selama beberapa hari.

“Alhamdulillah dapat tolong warga emas, yang strok, baby, kucing, anjing, anak-anak, wanita mengandung, pekerja Aeon yang terperangkap semalam dalam Aeon,” coretnya.

Dalam pada itu, Ardell juga melahirkan rasa syukur apabila air banjir kelihatan semakin surut dan berharap agar mereka yang terkesan terus kuat menghadapi ujian.

“Syukur air semakin surut Subuh tadi… Semoga terus surut Amin. Team kami @myfundaction berpecah di Shah Alam, Pahang, Perak. Semoga semua selamat dan dalam keadaan yang baik-baik,” tulisnya.

A post shared by نور الهداية (@ardellaryana)


Apapun, marilah kita sama-sama berdoa agar bencana banjir dihilangkan segera oleh Allah SWT selain cuba memberi bantuan mengikut keupayaan dan cara masing-masing.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa bencana banjir di kawasan masing-masing.