Misteri kelibat lelaki Jepun yang dilihat berlegar-legar di stesen transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya baru-baru ini turut dilihat di beberapa lokasi lain di ibu kota.

Perkara itu dikongsikan beberapa pengguna laman Twitter susulan perkongsian satu status yang dimuat naik pemilik akaun bernama Khairul Ridzuanb baru-baru ini.

BACA: "Dia Tersesat Zaman Ke?" - Lelaki Jepun Pakai Kimono Merayau-Rayau di LRT, Undang Tanda Tanya Orang Ramai

Difahamkan, lelaki Jepun yang dipercayai sesat itu turut dilihat berlegar-legar di kawasan tumpuan orang ramai termasuklah berdekatan pusat beli-belah KLCC, Pavilion dan Bukit Bintang.








Berdasarkan perkongsian satu entri yang dikongsikan pengguna akaun Syera Zamani di Twitter, difahamkan lelaki tersebut membawa sekeping gambar wanita bersamanya.

"Tadi sebelum saya nak naik tren, ada satu lelaki Jepun mendekati saya. Terkejut saya. Dia cari tak pasti siapa perempuan dalam gambar tu," tulisnya.

Bahkan, menerusi ruangan komen lain, ramai juga mendakwa mereka didekati lelaki sama.

"Eh, nampak juga lelaki Jepun ni dia tanya-tanya orang pasal gambar," tulis salah seorang pengguna.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada maklumat mengenai siapakah individu dalam foto yang dibawa bersamanya itu.

Beberapa hari lalu, kecoh di laman Twitter apabila terdapat seorang lelaki lengkap berkimono dilihat berlegar-legar di sebuah stesen LRT.

Gelagatnya itu kemudian mengundang tanda tanya orang ramai yang menyifatkan kemungkinan lelaki asing berkenaan sedang sesat.

Perkongsian foto lelaki berkenaan sudah mencecah hampir 1,500 kali ulang kicau di Twitter.