Bintang YouTuber masakan popular, Pavithra akhirnya tampil mendedahkan kisah di sebalik kontroversi yang terpalit susulan kes membabitkan suaminya, M Sugu.

Menurut Pavithra apa yang berlaku adalah berpunca dari keluarganya yang muncul dalam hidupnya selepas dia dikenali dan hidup sedikit senang.

“Sebab Sugu pergi hospital hari itu ialah keluarga saya sendiri, keluarga saya menjadi masalah kerana duit.

“Keluarga saya yang selama ini tak pernah tolong saya sejak saya kahwin tujuh tahun lalu. Selepas saya ada duit dan berjaya macam sekang ini diorang muncul dan mula pinjam duit dengan suami saya, buat masalah dalam keluarga,” katanya.

Pavithra membuat pengakuan tersebut menerusi sebuah video terbaharu selepas duo Youtuber itu membuat kemunculan baru-baru ini.

Video berkenaan yang berdurasi lima minit itu bertajuk ‘Ini lah sebab menjadi masalah’.

Dalam pada itu, Pavithra tidak menafikan bahawa Sugu juga bermasalah kerana mabuk ketika kejadian walau bagaimana pun menegaskan suaminya bukan seorang pemabuk.

“Memang salah Sugu. Sugu dah minum tapi dia bukan pemabuk,” jelasnya.

Sementara itu, Pavithra juga turut menyalahkan media yang dianggap sering menggangu kehidupan peribadinya.

Selain itu, dia turut meminta maaf kerana memadam semua video masakannya dan berjanji untuk memuat naiknya semula.

Pavithra berharap penonton dan peminat terus menyokong di dan suaminya.

Pada 20 Julai lalu, Sugu yang juga bekas pekerja ladang ditangkap dan kemudiannya didakwa atas pertuduhan memilki sabit dan menyebabkan kecederaan ke atas isterinya. Dia bagaimanapaun mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan itu.