Bapa kepada Pegawai Kadet Laut Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros melakukan sujud syukur di luar kamar mahkamah selepas hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan 18 daripada 19 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri.

Menerusi entri di Instagram (IG), Astro Awani telah berkongsi sepotong video Zulkarnain melakukan sujud syukur yang menyentuh hati ramai pihak.

"Zulkarnain Idros, bapa kepada Zulfarhan Osman Zulkarnain, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang maut akibat disyaki didera rakan universitinya sujud syukur sejurus keluar dari kamar Mahkamah Seksyen Jenayah 2 selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan 18 penuntut UPNM untuk membela diri," tulisnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata mengakui tersentuh dengan tindakan yang dilakukan oleh Zulkarnain yang melahirkan rasa syukur apabila nasib anaknya terbela.

"@purplishcandy: Sebak pulak tengok. Betapa kuatnya hati dan semangat ibu bapa menuntut keadilan."

"@herirus: Sedihnya. Dari dulu ikut perkembangan kes ini. Zalimnya buli anak orang sampai mati. Lihatlah reaksi bapanya yang amat menyentuh hati."

"@emylisalisa: Semoga yang bersalah mendapat hukuman yang setimpal. Sedih bila hati bila baca berita tentang kes arwah. Apatah lagi mak dan ayah arwah. Semoga yang bersalah tidak terlepas dari hukuman."

"@mierashada: Allah sebaknya. Alhamdulillah. Semoga urusan keluarga arwah dipermudahkan."

Bapa Allahyarham Zulfarhan, Zulkarnain Idros membuat sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan 18 daripada 19 tertuduh dalam kes kematian Zulfarhan Osman Zulkarnain membela diri. Tarikh 2 Oktober mula perbicaraan. Laporan wartawan Astro Awani, @dhiamadani #UPNM #AWANINews

A post shared by AstroAwani (@501awani) on


Sementara itu menurut laporan Astro Awani, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan 18 daripada 19 tertuduh dalam kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, untuk membela diri.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Datuk Azman Abdullah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir sesi pendakwaan.

Seorang lagi tertuduh, Mohamad Akmal Akif Alias, dilepaskan dan dibebaskan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan mendatangkan kecederaan.

Enam daripada tertuduh akan dibicarakan di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Baki 12 yang lain pula akan dibicarakan di bawah Seksyen 330 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka didakwa terbabit dalam membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.