“Kemenangan Buat Manusia” - Rusia Akhirnya Berjaya Hasilkan Vaksin COVID-19! Bakal Dipasarkan Pada...
Selepas hampir dua bulan ujian dilakukan terhadap manusia, vaksin COVID-19 akhirnya telah berjaya dihasilkan oleh Rusia.
Menerusi laporan BBC, Presidennya Vladimir Putin berkata, vaksin berkenaan telah pun diluluskan dan ia digelar sebagai Sputnik V.
Difahamkan nama berkenaan bersempena nama satelit Soviet.
“Vaksin tersebut telah melepasi kesemua ujian, malah anak perempuan saya telah pun turut diberi vaksin berkenaan.
“Kemungkinan ia akan dipasarkan secara meluas pada Oktober,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Rusia, Mikhail Murashko mengatakan bahawa vaksin tersebut terbukti sangat berkesan dan selamat.
“Ia merupakan langkah besar untuk kemenangan manusia menentang COVID-19,” katanya.
Difahamkan ketika ini sebanyak 20 negara sudah melakukan pra tempahan untuk lebih satu bilion dos.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan terbarunya menjelaskan pihak mereka sedang bekerjasama dengan kerajaan Rusia untuk melakukan proses ‘pre qualification’.
“Proses ‘pre qualification’ setiap vaksin merangkumi tinjauan dan penilaian yang ketat terhadap semua data keselamatan dan keberkesanan yang diperlukan, " kata jurucakap WHO.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini turut mengumumkan kerajaan bersedia membeli vaksin COVID-19 dari mana-mana negara yang berjaya membangunkan rawatan itu terlebih dahulu termasuk dari China, Russia dan United Kingdom.
Sumber: BBC, LiveMint, Harian Metro