Bencana banjir yang menimpa tentunya memberi pelbagai kesan dan mengganggu urusan harian mereka yang terkesan.

Justeru, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan, mangsa banjir diberi pengecualian daripada membayar yuran penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).

Kata beliau, tiada tempoh ditetapkan untuk mangsa menggantikan dokumen berkenaan memandangkan masih banyak urusan penting lain seperti menguruskan rumah dan keluarga.

Menurutnya, mangsa banjir yang mahu mendapatkan pengecualian tersebut perlu membuat laporan polis tentang kehilangan dokumen sebelum berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Tidak perlu tergesa-gesa untuk melakukan urusan ini. Saya minta JPJ membantu mereka yang terjejas dan kalau boleh kita hendak meletakkan kaunter mobil JPJ untuk memudahkan urusan mangsa banjir nanti," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Untuk makluman, kadar bayaran yang ditetapkan JPJ bagi penggantian lesen memandu ialah RM20, bayaran salinan cukai jalan bagi motosikal (RM20) dan kereta (RM50).

Dalam pada itu beliau berkata, agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) antaranya JPJ, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Laut Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa banjir.

Sumber: BERNAMA