Pemain bola sepak terkenal dunia, Paul Pogba membuat peminat dan netizen Malaysia 'kecoh' hari ini apabila beliau memuat naik sekeping foto dirinya di hadapan sebuah televisyen dalam laman sosial Instagram.

Hal yang membuat lebih 48.1 juta pengikut Instagram peribadinya teruja adalah paparan di skrin televisyen menunjukkan pemain Manchester United itu dilihat menonton siri animasi popular negara, Omar & Hana.

Pada foto yang menyaksikan dirinya memakai jersi berwarna putih dan memegang alat kawalan jauh, pemain berusia 28 tahun ini menyelitkan kapsyen yang ditulis dalam bahasa Perancis.

Kapsyen tersebut berbunyi: "Sesi menonton filem bersama keluarga."

Dan di skrin terlihat babak dari siri animasi Omar & Hana menjadi pilihan Pogba yang dipercayai berada di rumah bersama keluarganya.

Perkongsian tersebut mendapat lebih 400,00 tanda suka dan dibanjiri dengan komen dari netizen Malaysia yang bangga melihat pemain tengah dari Kelab Liga Inggeris itu memilih animasi tempatan sebagai salah satu hiburan bersama keluarga.

Siri animasi Omar & Hana dihasilkan oleh Astro dan Digital Durian.

Ia menceritakan tentang dua beradik iaitu Omar dan Hana yang belajar mengenai ciri-ciri Islam yang baik dan nilai-nilai moral.

Selain rantaian animasi yang menjadi pilihan, lagu lagu seperti Tolong Mama Papa dan Alif Baa Taa juga cukup digemari dalam kalangan kanak kanak.



Omar & Hana merupakan antara kandungan popular di Astro yang sedang meraikan ulang tahun ke-25.

Bersempena sambutan ulang tahun yang ke-25, Astro melancarkan 'Astro 25' di Saluran 100 yang menyajikan pelbagai program istimewa tempatan dan antarabangsa, bermula hari ini hingga 3 Oktober depan.

Dengan ini, para pelanggan Astro berpeluang menonton lebih 150 tajuk istimewa itu menerusi Astro TV, On Demand dan juga Astro Go.

Pada masa yang sama, Astro turut mengumumkan tema #KitaTeguhBersama sebagai mendasari kempen Hari Kemerdekaan tahun ini.

Instagram: @paulpogba