Masih berdegil! Itu lah yang terjadi apabila seramai 50 individu yang enggan memakai pelitup muka dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi laporan Astro Awani, bagi kesalahan enggan memakai pelitup muka di tempat sepatutnya adalah 26 individu manakala yang ingkar PKPD sebanyak 24 individu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia diikuti kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal sebanyak 19 individu, gagal menyediakan peralatan/ merekod butiran diri (13 individu).

“Tangkapan terhadap pendatang tanpa izin (PATI) (10 individu), aktiviti dalam kelab malam (enam individu) dan tiga ditahan kerana premis beroperasi lebih masa,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 86 individu dikompaun manakala 15 lagi direman.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 56,758 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, pematuhan juga melakukan pemantauan di 3,569 pasar raya, restoran (4,811 premis), penjaja (1,380 premis), kilang (1,029 premis), bank (1,137 premis) dan 718 pejabat kerajaan.