Rasanya ramai dah tahu Ip Man 4: The Finale merupakan yang terakhir siri filem tersebut dan penerbitnya yang juga pelakon utama, Donnie Yen ada jawapan tersendiri mengapa keputusan itu dibuat.

Donnie ketika ditemui Astro Gempak berkata, dia mengambil keputusan itu untuk mengelak rasa bosan penonton terhadap Ip Man.

“Filem klasik, kalau terlalu panjang sirinya orang akan bosan. Jadi cukuplah IP Man terhenti sehingga yang keempat sahaja.

“Bukan itu sahaja, saya bimbang jika diteruskan lagi Ip Man kelima atau keenam, kualitinya akan menurun dan itu sudah tentu sesuatu yang tidak bagus.

“Lagi pun dalam sejarah pembikinan filem klasik, kesinambungannya tidak lebih daripada dua. Saya berbesar hati kerana IP Man walaupun lebih daripada dua, mendapat sambutan penonton.

“Saya harap IP Man 4: The Finale juga akan mendapat tempat di hati peminat, terutamanya di Malaysia,” katanya.

Donnie Yen berkata demikian ketika mengunjungi Astro untuk siri promosi bersama aktor memegang watak Bruce Lee, Danny Chan.

IP Man 4: The Finale akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 20 Disember ini.

Untuk rekod, Ip Man 3 telah mencatat kutipan pecah panggung kategori filem Cina iaitu sebanyak RM12 juta dalam tempoh empat hari ketika ditayangkan di Malaysia pada tahun 2016.

Malah, ia menjadi filem Hong Kong pertama di Malaysia yang berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM30 juta sekaligus meletakkannya sebagai filem Cina paling tinggi dalam sejarah kutipan di Malaysia.