Hiburan
Kenji Sawahi Masih Belajar Tentang Agama Islam - “Kalau Tuhan Izinkan, InsyaAllah”
Pelakon Kenji Sawahi mendedahkan dia masih dalam proses memperlajari ilmu agama Islam dengan rqakan baiknya semenjak lima tahun lalu.
Masih menjadi jalan yang sesuai untuk dirinya, Kenji memberitahu dia sentiasa bertanya kepada rakannya mengenai perkara yang tidak diketahuinya.
“Saya belum lagi bertukar agama… tapi masih lagi tengah belajar. Kalau Tuhan izinkan, InsyaAllah. Saya belajar mengenai agama Islam dengan kawan baik saya, iaitu Pak Haji.
“Apa yang saya tak faham, saya akan tanya dia. Nak tahu juga kebaikan berbanding dengan agama yang sebelum saya ambil itu. Saya masih belajar dan masih cari jalan untuk sesuai dengan saya,” katanya kepada Gempak.
Kenji ditemui ketika malam tayangan episod akhir drama siri Layang-Layang Perkahwinan di Hotel Tenera, Bangi pada Khamis.
Dalam pada itu, Kenji berkata dia mempunyai keinginan untuk mengetahui tentang Islam kerana sudah biasa dikelilingi dengan orang Melayu sejak kecil.
“Saya membesar dengan atok dan nenek di Kangar, Perlis. Di kampung saya, hanya ada satu saja rumah orang cina iaitu rumah atok dan nenek saya.
“Di kawasan itu ada ramai penduduk orang Siam dan orang Melayu. Jadi, saya dari kecil sudah dikelilingi dengan Siam dan Melayu.
“Malah, di rumah kami tidak dibenarkan untuk makan khinzir atau bawa minuman keras. Kalau nak makan khinzir kena pergi luar bandar. Jadi, saya dah mendapat didikan begitu,” ujarnya.
Must-Watch Video