Penyanyi tersohor Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi teguran kepada segelintir pihak yang berada disebalik kelab peminatnya Sitizoners supaya tidak membanding-bandingkan serta mempertikai cara dirinya bekerja.

Siti Nurhaliza berkata, selama ini kejayaan demi kejayaan yang dimiliki adalah berkat usaha dan kerja keras setiap individu yang menjadi tulang belakangnya.

"Sekali sekala perlu saya ingatkan kepada Sitizoners (kelab peminat) yang saya sayangi dan juga yang menyamar di sebalik nama Sitizoners. Rasanya tak perlu untuk bandingkan cara saya bekerja dalam dunia hiburan dan bisnes sangatlah berbeza. Pasukan juga berbeza.

"Alhamdullillah, kerana pasukan Siti Nurhaliza Productions (SNP) saya bertahan sampai sekarang dengan cara dan stratergi yang kami buat. Begitu juga dengan produk saya," katanya,

Siti menegur serta meluahkan rasa hatinya itu menerusi ciapan di Twitter.

Menurut Siti lagi, beliau berharap tiada pihak yang cuba memperlekeh kerja pasukannya kerana setiap kuputusan akhir adalah ditangannya.

"Jadi saya harap jangan mudah menjatuhkan dan memperlekehkan kerja insan yang sudah bertungkus-lumus menjaga reputasi dan kerja saya.

"Keputusan akhir semua di tangan saya dalam setiap kerja yang dibuat. Terima kasih bagi yang sentiasa memahami. Yang baik dari Allah, yang buruk dari kita sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Siti turut menjelaskan ciapan di Twitter terbabit ditulis sendiri olehnya bukan 'admin' atau wakil tertentu.