Personaliti media sosial Rhys William terkenang memori pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia sekitar lapan tahun lalu.

Menurut Rhys atau nama sebenarnya Rhys William James, berpindah daripada United Kingdom (UK) dan memilih Malaysia sebagai “rumah” merupakan antara keputusan paling terbaik pernah dilakukan sepanjang hidup.

Di laman sosial Instagram, Rhys turut berkongsi foto pertamanya di Kuala Lumpur, dia sedang menikmati mi goreng di sebuah gerai kecil di hadapan hotelnya waktu itu.

“Pada 13 September 2013 saya dah pindah keluar dari rumah di UK dan jual semua barang saya. Sampai di Malaysia lewat malam 14 September dengan hanya satu suitcase sahaja. Masa tu saya tak tahu apa akan jadi di Malaysia. Saya cuma tahu impian saya memang nak tinggal di sini.

“Sekarang, 8 tahun kemudian memang rezeki saya di Malaysia. Dah ada kerjaya yang saya suka, dah kahwin bahagia dan ada anak seorang. Memang rasa diterima di sini. Lebih dari separuh “kehidupan dewasa” saya di Malaysia, dan Malaysia betul-betul jadi rumah saya dah.

“Walaupun saya masih rakyat UK, UK dah tak rasa macam “rumah” saya, bila pergi sana pun tak sabar nak “balik” Malaysia.

“Bila tenung kembali, saya rasa keputusan untuk pindah ke sini antara keputusan yang paling best saya pernah buat sepanjang kehidupan saya. Memang rasa gembira di Malaysia,” ujar Rhys di ruangan kapsyen.

A post shared by Rhys William (@si_rhys)


Tambah Rhys lagi, walaupun kehidupannya di Malaysia sangat positif, namun dia tidak terkecuali berdepan detik duka.

“Ada orang ambil kesempatan, ada saya pernah kena “game”, pernah dikecam orang ramai, tapi itulah realiti kehidupan ini. Kalau kita inginkan sesuatu, kita akan diuji untuk tengok kita betul-betul nak sesuatu tu.

“Insyallah tahun depan dan tahun berterusan saya masih menetap di Malaysia, dan masih boleh menyambut ulangtahun di sini. Saya sentiasa muhasabah diri betapa bertuahnya dengan peluang dan rezeki ini,” jelas Rhys lagi.

Sementara itu di ruangan komen, rata-rata wargamaya berasa bangga melihat orang luar menyanjung tinggi tanah air kita.

Wahh rasa bangga bila ada orang appreciate negara Malaysia. Pergi la Sarawak lagi nanti,” cadang seorang wargamaya.

Tetiba saya sayang Malaysia. Orang luar pun sangat menghargai Malaysia. Apa lagi kita yang memang rakyat Malaysia. Malaysia tanah airku,” ujar seorang wargamaya.

Selamat ulang tahun ke-8 Rhys. Semoga terus bahagia di Malaysia,” ucap seorang wargamaya.

Kami rasa bangga bila ada orang UK sudi menetap di sini,” tulis seorang wargamaya.

Sebagai Melayu Malaysia sejak lahir, saya malu dengan Rhys yang dapat mengarang dan bertutur bahasa Malaysia dengan sempurna. Tahniah Rhys,” komen seorang wargamaya lagi.

Sekadar info, Rhys mula dikenali menerusi blog ‘Mat Salleh Cari Makan’ dan menjadi tular kerana kepetahannya bertutur dalam bahasa Melayu.