Laman Utama

Kerajaan Akan Panggil Illi Najwa, Nafi Tukar Nama ‘Navpreet’ –  “Segala Silap Dan Salah Yang Berlaku Atas Kejahilan Illi dan Manpreet…”

gempak
Fiza Kamarudin
21/12/2020
07:00 MYT
Sponsor Banner
Kerajaan Akan Panggil Illi Najwa, Nafi Tukar Nama ‘Navpreet’ –  “Segala Silap Dan Salah Yang Berlaku Atas Kejahilan Illi dan Manpreet…”
Wanita dikenali sebagai Illi Najwa Saddique yang berkahwin dengan kapten hoki pasukan India, Manpreet Singh Pawar nafi menukar namanya kepada ‘Navpreet’ dan mengakui masih beragama Islam.
Illi menerusi sebuah kenyataan yang tular di mesia sosial sejak semalam berkata, dia tidak pernah menukar nama atau agama seperti yang didakwa netizen.
“Nama saya masih kekal Illi Najwa Anuar Hussin Saddique. Keluarga suami memanggil saya Navpreet sejak tahun 2012 kerana sukar bagi mereka menyebut nama saya.
“Suami saya telah memeluk agama Islam sejak setahun lalu iaitu pada Disember 2019,” tegasnya.
Illi turut memaklumkan dia ke India mengikut prosedur perjalanan yang sah.
Wanita berkenaan memohon maaf dan mengaku apa yang berlaku atas salah dan kejahilan dia dan suaminya.
Malah, Illi Najwa turut menzahirkan permohonan maaf kepada keluarganya yang diheret sama dalam isu itu. Dalam pada itu, kerajaan akan memanggil Illi Najwa bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, wanita itu akan dipanggil sekembalinya ke Malaysia.
Katanya, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berhubung status agama wanita berkenaan.
"Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal yang diterima, wanita berkenaan masih seorang Muslim dan setakat ini tiada permohonan diterima untuk menukar agama.
"Pada masa sama, kita juga tidak menerima permohonan daripada wanita berkenaan untuk berkahwin di luar negara. Menerusi pembacaan saya di media sosial, wanita berkenaan masih Islam dan lelaki itu dikatakan sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.
"Bagaimanapun, perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri," katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Mengulas lanjut, Marzuk bagaimanapun berkata, majlis resepsi yang diadakan itu bercanggah dengan ajaran Islam kerana terdapat unsur agama lain.
"Kita memahami kegusaran masyarakat berhubung perkara berkenaan kerana ia agak sensitif. Bagaimanapun, setakat ini kita bersangka baik dan mengandaikan wanita itu masih Islam," katanya.
Kontroversi perkahwinan Illi dan Manpreet mula mencetuskan pelbagai persoalan sehingga ada yang mendakwa dia murtad.
Pasangan itu sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi perkahwinan diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.
Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa kelihatan menawan dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024