Kerajaan Negeri Melaka akan membantu kos penerbangan dan pengangkutan keluarga bayi berusia lapan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menderita kanser 'Germ Cell Tumor' di bahagian mulut, ke United Kingdom (UK).

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata Kerajaan Negeri secara dasarnya bersetuju untuk membantu memudahkan urusan keluarga itu mendapatkan rawatan di luar negara.

"Kos pembedahan itu agak tinggi, buat masa ini kita akan berikan bantuan dari segi untuk beliau dan keluarganya ke luar negara, daripada kos penerbangan dan pengangkutan itu kita bantu," katanya kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah bantuan yang akan diberikan Kerajaan Negeri bagi membantu keluarga dari Ayer Molek itu.

Bapa bayi itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, ketika dihubungi berkata, beliau berserah kepada Allah dan memohon kepada semua pihak mendoakan anaknya sembuh seperti biasa.

Pada Khamis, media melaporkan Ainul Mardhiah dijangka berlepas ke UKminggu hadapan, bagi menerima rawatan daripada doktor pakar di negara berkenaan.

Kes itu mendapat perhatian doktor pakar pelatih surgikal kelahiran Malaysia yang bertugas di hospital United Kingdom, Dr Nur Amalina Che Bakriyang menyatakan hasratnya untuk membantu dan cuba menghubungi beberapa kenalannya daripada pelbagai bidang kepakaran bagi membincangkan mengenai kes bayi itu.

Sumber: Bernama