Kereta dinaiki seorang pelawak lelaki mengalami kemalangan dengan sebuah motosikal penghantar makanan di Jalan Perniagaan Setia Utama, Johor Bahru pada malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, dalam kejadian jam 12.43 tengah malam itu, pelawak dan pemandu wanita berusia 33 tahun yang memandu Hyundai Elantra tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta itu membelok ke simpang sebelah kanan jalan dan dilanggar motosikal jenis Yamaha 15ZR dari arah laluan bertentangan.

"Penunggang motosikal mengalami luka di muka dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Siasatan polis mendapati pemandu kereta terbabit memandu secara cuai semasa hendak membelok masuk simpang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, saman dikeluarkan ke atas pemandu kereta terbabit di bawah Rule 3(2)(B) LNN166/59.


Sumber dan kredit foto: Harian Metro