Dua lelaki berumur lingkungan 20-an ditahan susulan kes posting lucah di laman Instagram bersama kanak-kanak.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan.

“Polis menahan dua lelaki berumur 20-an dan direman selama tiga hari hingga 13 Jun.

“Kes disiasat di bawah kes seksyen 12 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan pemilik akaun Instagram (IG) ‘safieyillias94’ sudah ditahan petang semalam.

Individu tersebut ditahan di sekitar daerah Kajang bagi membantu siasatan berhubung membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan kanak-kanak di bawah umur menerusi platform Instagram Live.

"Kita dah tangkap semalam, pada pagi ni polis membuat permohonan reman untuk siasatan lanjut," katanya.

Sekadar info, satu rakaman video tular di laman media sosial yang memaparkan tindakan seorang usahawan kosmetik bersama beberapa orang rakannya melakukan Instagram Live yang turut disertai oleh dua remaja bawah umur.

Susulan itu, Pensyarah, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar tampil membuat laporan polis berdasarkan tiga kesalahan berkaitan akta dan peraturan di Malaysia.

BACA : Sembang Lucah Dengan Kanak-Kanak Bawah Umur Di Instagram Live, Pemilik IG ‘Safieyillias94’ Ditahan Polis