Pelakon Puteri Aishah akui melalui pengalaman yang agak mendebarkan ketika menjalani penggambaran filem Pulang.

Puteri Aishah memberitahu dia didatangi seekor buaya ketika sedang menjalani penggambaran di sebuah muara sungai yang terletak di Terengganu.

“Ketika sedang berdialog di atas sampan, tiba-tiba saya terdengar bunyi pergerakan air.

“Hati saya terus berdebar-debar kerana suasana di persekitaran ketika itu agak sunyi.

“Bila bertanya kepada kru, mereka kata tiada apa-apa yang berlaku.

“Tetapi selepas selesai penggambaran, baru mereka memberitahu, ada buaya di tepi sampan kami ketika penggambaran itu. Luruh jantung dibuatnya,” katanya kepada Astro Gempak.

Filem yang bakal menjengah pawagam bermula 26 Julai ini, menjalani penggambaran selama 45 hari.

Selain itu, Puteri berkata dia bertuah kerana menjadi sebahagian daripada barisan pelakon filem Pulang.

“Ketika saya terima tawaran filem ini, saya masih baru lagi dalam industri dan tidak sangka mereka mempercayai kebolehan saya.

“Selain dapat bekerjasama dengan pengarah Kabir Bhatia, saya juga bertuah kerana pelakon senior banyak membantu ketika menjayakan filem ini.

“Saya juga gembira kerana menerima tunjuk ajar dari guru lakonan kami, Fatimah Abu Bakar," katanya.

Pulang yang mengambil latar era 1940-an hingga 2010 membariskan pelakon lain seperti Remy Ishak, Datuk Jalaludin Hassan, Juliana Evans dan Azrel Ismail.

Teks oleh: Syafiqah Jalal