Gedung tekstil terbesar Malaysia Jakel tampil menafikan dakwaan pihaknya terbabit kecurian bekalan elektrik untuk disalurkan ke khemah besar yang dirobohkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini.

Jelas Pengarah Jakel Shah Alam, Mohamed Izani Mohamed Jakel, premis mereka mempunyai meter yang sah dan tak pernah terlepas membayar bil elektrik setiap bulan.

"Tular pada hari ini di mana pihak Majlis Bandaraya Shah Alam telah memuatnaik status berunsur tuduhan ke atas pihak Jakel bahawa pihak Jakel telah mendirikan satu pencawang elektrik secara tidak sah di atas tanah milik Jakel di seksyen 7 Shah Alam.

"Di sini kami sertakan bil elektrik bulanan yang sah kepada pihak TNB, dan ini membuktikan kami telah mendirikan pencawang elektrik mengikut garis panduan pihak TNB.

"Diharap, penjelasan ini dapat menjelaskan tuduhan yang telah menjatuhkan kredibiliti Jakel sebagai peniaga yang telah mendapatkan kebenaran sah dari TNB dan di serta kan bil Elektrik disini utk pengesahan," maklumnya menerusi kemaskini akaun Facebook rasmi Jakel.


Dalam paparan bil elektrik terbabit, khemah besar itu menggunakan kurang RM1,000 nilai caj semasa elektrik setiap bulan.

Malah, difahamkan pihaknya turut memaklumkan khemah besar yang dirobohkan MBSA itu bukan kepunyaan mereka sebaliknya milik sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru.

Kecoh sejak Rabu apabila MBSA telah merobohkan khemah besar di Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam yang dipercayai milik Jakel.

MBSA terpaksa merobohkan khemah terbabit kerana mendirikan struktur berkenaan tanpa kebenaran selain mempamerkan iklan perniagaan tanpa kebenaran dan menggunakan bekalan elektrik daripada pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) secara tidak sah.