Juara Hero Remaja 2023, Aiman Ameer mengakui yang dia sanggup berbuat apa sahaja asalkan namanya kekal relevan dalam industri tanah air.

Menurut Ameer, dia ingin memperbaiki diri dari segala aspek dan mahu bekerja keras supaya tidak dilabel ‘sendu’ selepas dinobatkan sebagai johan program yang telah banyak melahirkan individu berbakat besar itu.

“Lepas dah jadi juara ni, Ameer akan sentiasa memperbaiki diri, hari demi hari. Dan memang setiap hari Ameer akan cari benda yang Ameer boleh buat untuk kekal relevan.

“Mungkin untuk satu tahun yang pertama ni, lepas dinobatkan sebagai juara, kalau Ameer diperlukan untuk tiada cuti sekalipun, mungkin Ameer akan buat je everything,” katanya kepada Gempak.

Ameer ditemui selepas siaran langsung pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023, di CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur.

Selain Ameer, Nurel Bahrin turut dinobatkan sebagai Juara Dewi Remaja 2023 dan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi.

Sekadar info, siaran akhir tersebut menampilkan 12 finalis dan buat kali pertamanya menyatukan peserta-peserta Hero dan Dewi Remaja atas satu pentas.