Disebabkan minat yang mendalam terhadap filem-filem seram, pengarah Shadan Hashim terpanggil untuk menghasilkan filem angker terbaharu berjudul Jerangkung Dalam Almari.

Menurut Shahdan, selain daripada minatnya terhadap genre itu, filem seram juga merupakan antara genre yang cukup diminati serta sering mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton.

“Melihat kepada keadaan semasa, kadang-kala saya agak terganggu apabila menyedari perbuatan syirik masih lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat. Oleh kerana itu, saya harus mengetengahkan isu ini.

“Pada masa sama, saya merupakan penggemar filem-filem seram dan Jerangkung Dalam Almari ini dihasilkan sebagai memberi penghormatan (pay homage) buat pembikin-pembikin filem seram yang saya gemari,” ujarnya.

Sebelum ini, Shadan pernah menghasilkan sebuah filem seram iaitu Volkswagen Kuning, selain bergelar sutradara menerusi filem Haru Biru dan Cinta 200 Ela.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Shadan berkata, filem dari syarikat produksi Akid Productions Sdn. Bhd dan penerbit Raja Azmi itu menceritakan tentang tiga orang adik-beradik yang membiarkan syaitan bermaharajalela dalam dada mereka sehingga berdendam dan prasangka terhadap diri masing-masing.

Ujarnya, walaupun ini adalah sebuah filem genre seram, tetapi mesej kekeluargaan ialah tunjang kepada jalan cerita filem tersebut.

Tambah Shadan, dia perlu menampilkan sesuatu yang luar biasa kerana hantu jerangkung itu sendiri memang jarang sekali diangkat di layar lebar berbanding kisah hantu lain seperti pontianak, orang minyak dan hantu raya.

“Bila mendapat peluang ini saya bertanya pada diri, bagaimana untuk menghasilkan sebuah filem seram yang baik, tanpa adegan klise seperti wanita terapung, melekat di dinding atau menjerit apabila ayat-ayat al-Quran dibaca, seperti kelaziman filem seram yang lain?

“Jadi ia mencabar kreativiti saya untuk menghasilkan adegan seram yang lebih mencemaskan, menunjukkan cara yang lebih kreatif untuk mengatasi ancaman jin dan yang paling mencabar ialah untuk memunculkan makhluk jerangkung itu sendiri.

“Saya cuba mencari identiti filem seram yang dekat dengan masyarakat kita dan percaya penonton akan terhibur dengan jalan cerita yang menarik serta elemen-elemen surprise yang terdapat dalam filem Jerangkung Dalam Almari ini,” katanya.

Jerangkung Dalam Almari mengisahkan tentang kehidupan Fikri lakonan Datuk Adi Putra yang tidak tenteram kerana sering diganggu oleh jelmaan yang muncul dari dalam almari sehingga mengancam nyawa isterinya Shikin (Sophia Albarakbah) dan anak (Isaac Iman).

Berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada Pak Hassan (Wan Hanafi Su), Fikri pulang semula ke rumah lama, tetapi terpaksa membuat perhitungan dengan abang Ali (Hasnul Rahmat) yang menyimpan rahsia gelap di sebalik ancaman Jerangkung Dalam Almari.

Filem Jerangkung Dalam Almari bakal menghantui penonton di pawagam seluruh negara mulai 4 Ogos 2022.

Nak tonton banyak lagi movie menarik? Terus jer ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 untuk lebih banyak filem hebat! Macam-macam movie ada!