Berita
"Kita Kena Berbuat Baik Dengan Mentua Sebab..." - Aliff Syukri Buat Kejutan, Hadiahkan Ibu Mentua Kereta Impian
Usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Aliff Syukri membuat kejutan kepada ibu mentuanya dengan menghadiahkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Menurut Aliff, kenderaan jenis Honda CR-V itu merupakan kereta yang diidamkan mentuanya, Rohani Hassan sejak dari zaman mudanya.
"Saya gembira sangat hari ini sebab dapat belikan kereta kegemaran mak mentua saya. Bukan main gembira dia dapat kereta ni.
"Maklumlah dari zaman muda mengidam nak pakai, akhirnya dapat juga. Kalau tak ada mereka, tak pasti saya ada isteri sebaik Shahida," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Shahida turut mendedahkan bahawa Aliff juga adalah menantu kesayangan ibunya kerana merupakan satu-satunya menantu lelaki dalam keluarganya.
Pada masa sama, Aliff turut menasihati orang ramai agar sentiasa berbakti bukan sahaja kepada ibu bapa sendiri, tetapi juga mentua.
"Bagi saya, kita kena berbuat baik dengan mentua sebab kalau tak kerana mentua kita, mungkin saya tak dapat isteri saya seperti sekarang.
"Disebabkan didikan mentua juga kita dapat pasangan yang baik. Selagi ada hayat, berbaktilah pada ibu bapa dan mentua kita sebab doa-doa mereka kita berjaya sehingga kini," katanya.
Di ruangan komen, rata-rata memuji sifat pemurah yang ada pada Aliff.
"Rasa terharu masa mak mentua peluk Datuk, mengalir air mata teman.
"Terbaiklah Datuk, memang manantu yang baik.
"Alhamdulillah, semoga bertambah rezeki datuk bahagiakan mak mentua," komen sebahagian warganet.
Aliff dan Shahida berkahwin pada Ogos 2007.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi dan Raudhah Arshiyah.
Must-Watch Video