Sebagaimana sedihnya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meninggalkan Istana Negara, hari ini, perasaan sama turut dirasai anakanda Seri Paduka Baginda Berdua.

Dalam hantaran di akaun Instagram hari ini, puteri Yang di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan berkongsi hantaran hari terakhir keluarga diraja itu di Istana Negara.

“Last day (hari terakhir). Goodbye Istana Negara (selamat tinggal Istana Negara),” demikian catatan yang mengiringi gambar Tengku Puteri Iman bersama tiga lagi adik-beradiknya, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.

Selama lima tahun, keluarga Al-Sultan Abdullah bersemayam di Istana Negara, Jalan Duta, di sini selepas menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Al-Sultan Abdullah, 64, yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Istana Negara sekitar pukul 8 pagi tadi.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari 2019.

Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok. AWANI