Laman Utama

Konsert Hattan - 35 Years Journey, Bukti Si ‘Kutu Rock’ Yang ‘Tak Hancing’

gempak
Maliah Surip
05/06/2022
08:05 MYT
Sponsor Banner
Konsert Hattan - 35 Years Journey, Bukti Si ‘Kutu Rock’ Yang ‘Tak Hancing’
Bagaimana mahu menumpahkan perasaan setelah pulang, tidur dan bangun di hari minggu nan tenang ini selepas menonton Hattan 35 Years Journey yang berlangsung di Plenary Hall, KLCC malam tadi, sedang bait bait lagunya masih bergumam di hati tanpa henti?
Dalam bahasa pasarnya, penulis boleh tulis dengan ringkas : ‘Padu Terok’!
Namun, dalam artikel ini penulis perlu adil ; memberi gambaran atau sedikit visual buat calon penonton yang akan menonton konsert Hattan buat malam kedua, beberapa jam lagi.
Meski tiket untuk malam kedua ini sudah pun laku keras (sold out), sesuatu yang manis masih harus disalurkan kepada semua agar peminat muzik tempatan sedar bahawa Malaysia memiliki bukan sahaja penyanyi yang hebat, tetapi barisan pemuzik dengan piawaian antarabangsa!
Di atas pentas, figura kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini membuka panggung konsert dengan membawa budaya yang menjadi kebanggaannya iaitu anak jati Nogori.
Beliau tak teragak agak meletakkan hit Biso Bonar sebagai pemula dan bersama lagu tersebut, Hattan melantunkan satu demi satu lagu lagunya yang sesekali membuai, namun kebanyakan masa membuat kami di bangku penonton resah dengan kehebatan persembahan malam itu.
Semak rendisi ini. Dari Hani membawa kepada Satu Malaysia Dah Tahu atau Ana Permata Timur yang punya sejarah tersendiri saat diterbitkan sehingga seluruh 10 buah lagu diharamkan dimainkan hanya kerana Hattan adalah kutu rock berambut panjang yang rebel pada era itu, semua selamba ditapau figura itu bersama geng pemuziknya.
Kalau Dari Kekasih Kepada Kekasih sudah membikin peminat tak keruan, bayangkan pula Kepada Mu Kekasih, Gerhana, Sekuntum Mawar Merah, Rendang Tak Berbuah dan Memburu Rindu bergema lantunannya dalam Plenary Hall tersebut.
Penulis percaya barangkali ada yang menangis kerana terlalu teruja sekaligus berasa tidak sia sia hadir di Konsert Hattan - 35 Years Journey.
Apa lagi mendengar suara Hattan yang tidak pernah berubah; lunaknya menggugah rasa, jelas sebutan bait liriknya terasa dan aslinya vokal lelaki dengan anugerah terindah sebagai penyanyi adalah milik Hattan sejak azali.
Bayangkan, di pentas itu, para pemuzik hebat dikepalai Rozario Rasul bersama Ritz (gitar), Fly, (bass), Pa'ang Zaman (perkusi), Ujang (dram) Aznan Alias (gitar), Firdaus (keyboard) dan Mohar (seruling) bergabung menjadikan konsert tersebut sebagai momen mahal untuk dilepaskan.
Menerusi Konsert Hattan - 35 Years Journey ini juga memberi definisi yang dicari dalam sebuah hiburan kadang bukan soal betapa popular penyanyi, tetapi menghargai seni muzik yang dimainkan setiap pemuzik dengan penuh jiwa dan penuh hormat terhadap pekerjaan sendiri.
Terima kasih Ritz, Fly, Mohar, Ujang, Aznan, Pa’ang, Firdaus dan Rozario di atas bakat hebat yang sepatutnya menjadi perhatian generasi pemuzik baharu.
Paling penting, terima kasih buat pihak penganjur, Mewah Event Management (MEM) kerana berani dan percaya meski Malaysia pernah berdepan pandemik COVID 19 yang teruk, fasa endemik memberi nadi baharu untuk setiap daripada kita terus bersemangat bekerja dan hidup.
Dan Hattan, semoga panjang umur diberi kesihatan dan anugerah vokal yang tiada galang ganti itu terus menjadi sebahagian daripada halwa telinga kami. Terima kasih atas dedikasi 35 tahun yang penuh sepak terajang dunia seni dan kehidupan peribadi. Semoga kekal menjadi legenda sejati.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live