Walaupun Konsert 3 Suara sudah berakhir Ahad lalu, namun peminat masih lagi merindui paduan suara Datuk Jamal Abdillah, Ameng (Spring) dan Zamani (Slam).

Menerusi Twitter, peminat masih lagi hangat memperkatakan tentang kehebatan konsert itu dengan menggunakan hashtag #konsert3suara.

Rata-rata menyatakan rasa rindu dan tidak puas untuk mendengar kembali suara tiga penyanyi hebat tersebut.

Imbas kembali malam pembukaan konsert yang berlangsung di Istana Budaya pada Rabu lalu, Jamal, Ameng dan Zamani telah menyampaikan seleksi lagu-lagu popular mereka.

Antaranya Bourgenvila, Sepi Tanpa Cinta, Sejiwa, Syair Si Pari-Pari, Kembali Merindu, Kembali Terjalin, Aku Penghibur, Azura dan Ghazal Untuk Rabiah.

Istimewanya konsert ini, Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah memberikan kelainan dengan membawakan lagu Ziana Zain berjudul Kalau Mancari Teman.

Sebaik saja Jamal menyampaikan lagu tersebut, peminat mula memberikan tepukan gemuruh dan tidak ketinggalan turut ikut menyanyi bersama.

Selain itu, gelagat lucu Ameng, Jamal dan Zamani ketika berinteraksi dan mengusik sesama sendiri membuatkan peminat ketawa.

Dalam pada itu, Ameng juga menyatakan rasa terharu kerana Jamal sudi menjemputnya untuk membuat persembahan.

Konsert 3 Suara juga merupakan konsert pertama Ameng selepas dibebaskan dari penjara akibat penyalahgunaan dadah pada Jun lalu.

Sebelum konsert berakhir, tiga penyanyi hebat tersebut telah menghadiahkan peminat dengan gabungan suara emas mereka menerusi enam lagu, Sampai Hati, Tak Mungkin Berpaling, Kekasih Awal dan Akhir, Perjalananku, Terharu dan Gadis Melayu.

Konsert anjuran Binjamal Event ini telah pun berakhir pada Ahad lalu.

Ternyata sehingga kini konsert anjuran Binjamal Event ini masih lagi meninggalkan kesan dan juga kenangan manis di hati peminat.