Pelakon Azri Iskandar mendedahkan ibu kekasihnya, Dr Azra Diera, 43, dimasukkan ke hospital kerana pengsan gara-gara mendengar cerita kontroversinya dengan wanita dikenali sebagai ‘F’.

Wanita itu tular selepas membuat pendedahan perbualan di aplikasi Whatsapp yang mendakwa Azri mengajaknya bernikah terlebih dahulu.

"Mak Azra pengsan selepas tengok video temubual wanita itu. Sampai sekarang (semalam) masih ditahan di hospital.

“Sedangkan mak dan ayah Azra menunggu masa saja saya bawa keluarga berjumpa mereka di Perlis. Mak dan ayah Azra pula sudah berumur 70 tahun lebih,” katanya dalam kenyataan di Harian Metro.

Kata Azri lagi, kontroversi itu juga telah memberi kesan kepada kerjayanya apabila namanya juga digugurkan dari persembahan Teater Tan Sri Elyas kerana didakwa membawa impak buruk pada imej Tan Sri Elyas dan juga imej Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penganjur.

"Saya juga digugurkan dari pementasan teater Tan Sri Elyas oleh DBKL kerana mereka pun ingat berita fitnah tu betul. Mereka tak tanya saya langsung tapi terus buang," katanya.

Ditanya sejauh mana penerimaan bakal isterinya selepas pendedahan wanita F itu, Azri berkata Azra Diera tetap mencintai dirinya.

"Azra setia dengan saya. Dia tak ambil 'port' pun. Sejarah kami bermula 29 Mei hingga sekarang. Apa yang berlaku sebelum itu kami tak kisah kerana ia cerita lepas," katanya.

Dalam kenyataan lain, Azri turut menafikan bahawa dia ada berjanji untuk menikahi wanita bernama 'F'.

Malah akan mengambil tindakan dengan menyaman wanita berkenaan serta portal yang telah menyebarkan laporan itu.

Terdahulu, Azri mengesahkan dia bakal berkahwin dengan wanita pilihannya yang juga penulis skrip, Azra Diera dan bakal menghantar rombongan merisik pada 23 Jun ini.

Sebelumnya, Azri dan pelakon Ellie Suriaty sah bercerai talak satu pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun hidup bersama.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13.

Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31; Farah Qistana, 29; dan Nur Anis Mastura, 27.

Sumber: Harian Metro