Selebriti-selebriti tersohor Indonesia seperti Kris Dayanti, Rano Karno, Harvey Malaiholo, Marcell Siahaan, Once Mekel dan beberapa nama lain telah mendaftar untuk mencuba nasib sebagai calon Ahli Parlimen dalam Pilihan Umum (Pemilu) 2024.

Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) khususnya mengesahkan 14 selebriti akan bertanding di bawah bendera parti politik itu.

"Ada sekitar 14 dari kalangan budayawan, seniman dan juga artis yang memang terbukti memiliki persaingan yang sangat kuat," kata Setiausaha Agung PDIP, Hasto Kristiyanto seperti dilaporkan portal berita Indonesia.

Kesemua 14 artis yang bertanding atas nama PDIP adalah seperti berikut:
1. Rano Karno
2. Rieke Diah Pitaloka
3. Kris Dayanti
4. Harvey Malaihollo
5. Junico Siahaan
6. Once Mekel
7. Marcell Siahaan
8. Taufik Hidayat Udjo
9. Denny Cagur
10. Tamara Geraldine
11. Sari Yok Koeswoyo Koes Plus
12. Andre Hehanusa
13. Lucky Perdana
14. Roni Sianturi


Menurut Hasto, kesemua calon berkenaan telah menjalani program kepimpinan dan diharap dapat membantu meraih undi daripada rakyat di seluruh wilayah Indonesia.

"Mereka yang dicalonkan telah mengikuti pendidikan politik dan program kepemimpinan dan diingatkan tugas-tugas wakil rakyat haruslah seiring dengan peranan pemimpin nasional dalam membawa kemajuan Indonesia Raya," jelas beliau.

Selain PDIP yang menampilkan 14 artis, sebuah lagi parti politik iaitu Parti Nasional Demokratik (Nasdem) yang dipimpin tokoh elit, Surya Paloh juga tidak ketinggalan memberi peluang kepada sejumlah artis merangkumi penyanyi, pelakon drama, pengarah filem dan pengacara televisyen.

Antaranya ialah pengacara terkenal, Choky Sitohang; penyanyi dangdut, Annisa Bahar; penyanyi Reza Artamevia serta pelakon drama Ali Syakieb.

Sumber: Awani