Laman Utama
Kuala Lumpur Dibanjiri Konsert Artis Indonesia, Penyanyi Tempatan Sekadar Penonton?
Selepas lebih dua tahun menyepi berikutan penularan pandemik COVID-19, industri hiburan tanah air kembali rancak dengan pelbagai pengisian acara termasuklah penganjuran konsert artis antarabangsa di Malaysia.
Dalam mengupas penganjuran konsert di negara ini, tidak dapat melepaskan pandangan daripada memberi tumpuan pada trend kemasukan penyanyi Indonesia mengadakan konsert berskala besar mahupun kecil di negara ini.
Hampir setiap minggu sejak sebulan lalu, ada sahaja artis dari negara jiran berkunjung ke Malaysia untuk menghiburkan peminat mereka. Namun apakah kehadiran mereka benar-benar diterima ramai? Tidakkah peluang dan pintu yang dibuka luas buat mereka tidak mencabar penghibur tempatan?
Advertisement
Tidak dinafikan populariti dan hasil karya barisan artis seberang merupakan salah satu faktor mereka sering dipanggil mengadakan persembahan besar di sini.
Demikian juga dengan sentimen keakraban dan diplomasi budaya yang sejak sekian lama terjalin antara kedua negara menyebabkan Malaysia sentiasa berjiwa besar menerima kehadiran mereka, malah kemasukan artis Indonesia ke Malaysia perlu diteliti dari sudut komersial dan silang budaya.
Kata Pengarah Urusan syarikat penganjur acara, ALIFE dan PR Worldwide Sdn Bhd, Para Rajagopal berkongsi rasional di sebalik penganjuran konsert-konsert artis Indonesia yang semakin melata sejak kebelakangan ini.
“Kalau ditanya kenapa penganjur sering panggil artis seberang datang buat konsert di Kuala Lumpur, sudah pasti kerana ada permintaan tinggi di sini.
“Sebagai usahawan yang memiliki selok belok dalam penganjuran konsert besar atau kecil, sudah tentu saya perlu membuat pengiraan teliti sebelum menganjurkan konsert untuk mana-mana penyanyi.
“Buat konsert bukan melibatkan jumlah yang sedikit tetapi boleh mencecah ratusan ribu ringgit dan adakala mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Tambahnya, seluruh penggiat industri tidak boleh menidakkan kemampuan penyanyi seberang yang memiliki 'crowd' (peminat) atau pengaruh tersendiri.
Material Lagu Indonesia Lebih Kuat
Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim pula tidak menafikan kekuatan material lagu penyanyi seberang antara salah satu faktor kemunculan mereka sentiasa mendapat permintaan di sini.
“Impak sesebuah lagu itu besar dalam karier seorang penyanyi. Jika ada material yang berkualiti, percayalah permintaan buat konsert setiap tahun pasti ada.
“Saya beri contoh, penyanyi Tulus dari Indonesia. Pihak pengurusan di sana memberi tanggungjawab kepada syarikat saya untuk uruskan jika ada sebarang tawaran persembahan di sini. Boleh dikatakan setiap bulan pasti ada permintaan untuk Tulus di sini.
“Faktor material yang dipersembahkan oleh Tulus mungkin menjadi faktor utama kenapa dia sering mendapat permintaan untuk adakan persembahan di sini.
"Tambahan pula, bekerja dengan penyanyi seberang juga profesional dan mudah,” komennya ringkas.
Namun begitu, Shiraz yang pernah menganjurkan konsert untuk beberapa nama besar di Malaysia turut memuji profesionalisme penyanyi tersohor, Datuk Sri Siti Nurhaliza, kumpulan Wings dan ramai lagi seterusnya tidak menolak untuk menjadi penganjur untuk konsert artis tempatan di masa akan datang.
Tidak Perlu Kecil Hati
Penerbit Eksekutif Belbif Sdn Bhd, Fandy Alias yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang penganjuran acara dan konsert mempunyai pendapat serupa di mana seseorang penyanyi perlu tampil dengan lagu-lagu hebat.
“Penyanyi baru atau lama, kalau ada lagu yang ‘kuat’, tidak mustahil bila jual tiket konsert memang akan laku. Maksudnya dalam sebuah album kena ada banyak pilihan lagu hit.
“Material lagu amat penting untuk tarik crowd. Bukan apa…bimbang nanti bila di konsert hanya satu dua lagu sahaja yang penonton boleh ikut menyanyi sama.
“Ini juga antara faktor sama ada tiket sold out atau sebaliknya,” komennya.
Manakala vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh melihat kemasukan artis Indonesia mengadakan konsert sebagai perkembangan positif industri muzik tempatan.
“Bagi saya, tidak perlu berkecil hati. Kemasukan penyanyi Indonesia bukan suatu masalah. Apa yang penting, peminat nampak industri sudah kembali rancak.
“Jujurnya, saya belum ada pengalaman jumpa penganjur yang ‘pilih bulu’. Sebagai usahawan, saya faham buat bisnes harus ada pulangan.
"Kalau ada yang kurang senang dengan kehadiran artis seberang di sini, saya tak boleh buat apa.
"Sebelum ini saya pernah mengadakan persembahan di salah satu anugerah di Jakarta. Saya akui memang industri muzik di sana jauh ke depan dan saya jadikan ia sebagai inspirasi dalam persembahan,” katanya.
Sumber - Awani
Must-Watch Video