Gunung Bromo merupakan antara salah satu gunung berapi yang masih aktif yang terletak di Jawa Timur, Indonesia.

Oleh yang demikian, ia menjadi lokasi pilihan buat mereka yang gemarkan aktivivi mendaki gunung, termasuk pendaki dari luar negara.

Biarpun ia merupakan sebuah gunung yang popular, ternyata tetap berlaku kejadian-kejadian aneh dan menyeramkan yang dilalui oleh segelintir pendaki.

Menyedari hal itu, ia telah memberi ilham buat syarikat produksi Indonesia, PIM Pictures untuk mengahasilkan sebuah filem seram berjudul Kutukan Sembilan SETAN.

Inspirasi kisah sekumpulan remaja

Penerbitnya, Agustinus Sitorus memberitahu, mereka berminat untuk menerbitkan filem berkenaan setelah mendengar kisah benar seorang pemuda, Very Barus bersama tiga orang rakannya yang mengalami kejadian aneh dan seram ketika mendaki gunung Bromo.

“Apabila diceritakan pengalaman tersebut, akhirnya kami berbincang dan sepakat untuk menghasilkan filem Kutukan Sembilan Setan.

“Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini telah diolah menjadi sebuah kisah yang menarik, namun ia adalah inspirasi kepada kejadian yang dialami sekumpulan remaja tersebut,” ujarnya.




Kutukan Sembilan Setan mengisahkan tentang Verdy bersama rakan-rakannya iaitu Devon, Sarah, Lia dan Miko yang merancang percutian di sebuah kawasan di gunung Bromo serta menyewa sebuah Villa selama lima hari.

Bagaimanapun, setibanya mereka di situ ternyata keadaan Villa berkenaan tidak sama dengan gambar yang diiklankan di internet ketika mereka membuat tempahan.

Selain Villa tersebut yang kelihatan aneh dah menyeramkan, mereka sudah diganggu beberapa kejadian misteri sejak hari pertama menginap di Villa berkenaan.



Diarahkan oleh Arie Aziz, filem berkenaan dibintangi barisan pelakon seperti Ajil Ditto, Denira Wiraguna, Frislly Herlind, Fandy Christian, Joshua Suherman, Fadhan Holao, Eric van loo, Sabina Bayramova,Fahira Almira, Brooklyn R, Gerald Krechoff, Egi, Fedly, Eistevanya Alexandra, Aisha Ali, Irna Jufe dan Zenia Zein.

Keindahan Gunung Bromo!

Sementara itu, Arie selaku pengarah pula memberitahu bahawa Kutukan Sembilan Setan bukan sekadar filem seram semata-mata.

Ujarnya, filem terbaharu arahannya itu cuba untuk menjadi sebuah filem seram yang lebih variasi serta berbeza dengan filem seram yang pernah dihasilkan.

“Selain kisah seram, filem ini turut menerapkan elemen-elemen lain seperti percintaan dan persahabatan serta memaparkan visual keindahan gunung Bromo itu sendiri.

“Gandingan barisan pelakon juga begitu mantap dan serasi antara satu sama lain. Cuma kami berhadapan cabaran apabila keadaan cuaca yang tidak menentu,” ujarnya.

Diedarkan syarikat D’ Ayu Pictures untuk pasaran di Malaysia, Kutukan Sembilan Setan akan ditayangkan di pawagam mulai 26 Oktober 2023.