Meskipun dua ekor anjing yang diculik telahpun ditemui, penyanyi popular Hollywood, Lady Gaga dilaporkan masih berada dalam keadaan trauma dan terkejut.

Memetik laporan Celebrity Insider, seorang wanita telah membawa dua anjing bernama Gustav dan Koji itu ke balai polis selepas Lady Gaga membuat pengumuman akan memberikan 500,000 USD (RM2 juta) kepada sesiapa yang menemui haiwan peliharaannya itu.

Ada juga sumber mengatakan bintang itu juga berasa takut untuk melihat keadaan penjaga anjingnya, Ryan Fischer yang ditembak di bahagian dada ketika penculikan anjing itu minggu lalu.

"Gaga sangat risau dengan apa yang berlaku terhadap Ryan dan anjing-anjingnya kerana dia melayan sesiapa yang bekerja dengannya seperti ahli keluarga, sudah tentu Ryan tidak terkecuali.

"Anjing-anjingnya dianggap seperti anak, dia juga tak rasa perkara ini berlaku secara tidak sengaja sebab itu dia takut," kata sumber.

Difahamkan, Lady Gaga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan sebetulnya untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku lagi.

Minggu lalu, Ryan membawa dua ekor anjing itu bersiar-siar ketika Lady Gaga ke luar negara untuk tujuan kerja.

Kemudian dua lelaki datang menyerang, ketika Ryan cuba melawan, salah seorang daripada lelaki tersebut menembaknya di bahagian dada dan membawa anjing-anjing itu pergi.