Lagu Raya Dengan Lenggok Tradisional Melayu, Ushera Muncul Dengan Kembali!
Penyanyi yang popular dengan lagu-lagu Melayu klasik, Ushera kembali memeriahkan industri muzik dengan melancarkan lagu raya berjudul Kembali.
Menariknya kali ini, penyanyi itu cuba bereksperimen dengan lagu tradisional Melayu yang sedikit terarah kepada Ghazal Melayu.
Menurut Ushera, Kembali adalah percubaan kedua saya menulis dan merakamkan lagu Raya selepas lagu Suka Ria Raya pada tahun 2017.
“Walaubagaimanapun, ini adalah percubaan pertama saya membawakannya dalam bentuk klasik tradisional Melayu dengan nada mendayu.
“Proses penulisan lagu ini dimulakan oleh saya sendiri dan kemudiannya ia telah digubah dan diarahkan semula oleh Ganesh Bala dengan menambah unsur-unsur Ghazal di dalam melodi.
“Liriknya pula ditulis oleh Raihani Mohd Saaid, dan saya sendiri ada membuat beberapa penambahan bagi menyesuaikan lirik lagu ini kepada mesej dan sentimen yang cuba disampaikan,” katanya.
Jelasnya, bukan satu proses yang mudah untuk memastikan Kembali dapat dikeluarkan untuk santapan pendengar sebelum raya menjelma.
“Namun saya amat berpuashati dengan hasilnya.Kembali dari segi vokal amat sukar untuk dinyanyikan. Saya perlu belajar menggunakan tingkat suara yang berlainan untuk mencari tahap yang sesuai dengan kemampuan vokal saya.
“Selain itu, lenggok lagu Melayu juga perlu saya praktikkan untuk mencantikkan lagi lagu ini. Semuanya adalah cabaran baru bagi saya,” kata Ushera juga adalah seorang guru vokal yang mengoperasikan sekolah muzik bernama Ouch Academy.
Difahamkan, Kembali kini boleh dimuat turun dan dibeli daripada kesemua platform striming.
Anda juga boleh saksikan video lirik Kembali di YouTube.