Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan, tidak menghalang Khai Bahar dan Dinda Permata untuk menghiburkan peminat mereka.

Khai dan Dinda bakal mengadakan konsert secara online yang dinamakan Konsert Rumah Kita Syurga Kita bersama tiga penyanyi baru, iaitu Farisha Airish, The Mirza dan Kamelia Syermain.

Konsert Rumah Kita Syurga Kita bakal berlangsung pada jam 3 petang ini di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Bagi Khai Bahar, konsert itu mendekatkan lagi dirinya dengan peminat yang tidak pernah putus membuat permintaan untuknya memuat naik nyanyian di Instagram dan YouTube.

“Saya puji usaha yang dibuat pihak 17Eleven Music. Ini bukan saja sesuatu yang baru, tapi menarik untuk kembangkan selepas ini.

“Secara peribadi, saya suka dengan konsep dan pendekatan ini. Apatah lagi sejak PKP ini dilaksanakan penggunaan laman sosial meningkat.

“Macam saya sendiri, boleh dikatakan hampir setiap hari peminat membuat permintaan untuk saya ‘cover’ lagu. Jadi, apabila konsert ini dibuat, ia idea yang menyeronokkan,” katanya.

Pada konsert itu, Khai akan menyanyikan lagu Ratuku yang juga edaran 17Eleven Music.

Sependapat dengan Khai, Dinda Permata yang juga bintang Big Stage musim kedua berasa teruja untuk menghiburkan peminat secara dalam talian.

“Apabila konsep ini diperkenalkan dan dipersembahankan secara konsert dari rumah, sudah tentu ia lebih menarik dan santai.

“Tapi, sebagai penyanyi saya harus profesional dan mempersembahkan lagu ini dengan baik. Sebab kita nak menghiburkan mereka.

“Pada konsert ini, saya akan menghiburkan penonton dengan lagu Syarat Bahagia. Lagu ini jarang dinyanyikan secara langsung selepas ia dilancarkan tempoh hari.

“Jadi, ini kesempatan terbaik untuk saya memperkenalkan lagi lagu ini. Tak sabar nak jumpa semua,” katanya.

Konsert berdurasi 30 minit itu turut mempersembahkan beberapa lagu lain antaranya Sakit nyanyian asal Achey yang akan dinyanyikan Farisha Irish, Kisah Cinta Kita nyanyian asal Hafiz Suip dibawakan The Mirza dan Khabar Aku (Kamelia Syermain).

Menariknya, bahagian dua Konsert Rumah Kita Syurga Kita akan menemui penonton pada minggu hadapan.

Klik link ini untuk terus ke ‘Konsert Rumah Kita Syurga Kita’ di bawa khas oleh 17Eleven Music: https://youtu.be/bSfR7I5Ip8U

Menariknya, konsert dalam talian pertama yang dianjurkan syarikat rakaman tempatan itu bakal memberikan warna baru dalam industri muzik tempatan terutama hiburan buat peminat.