Penyanyi muda, Syafiq Farhain meluahkan rasa kebimbangan apabila hampir dua tahun sepi tanpa sebarang lagu baru.

Menurut Syafiq, dia tidak menafikan popularitinya malap sekiranya tiada lagu terbaharu untuk diperdengarkan kepada orang ramai.

Susulan itu, dia mengambil keputusan untuk mengeluarkan single baru biarpun dalam tempoh pandemik ini.

“Kalau nak tunggu keadaan stabil, saya pula hampir dua tahun tidak keluarkan single, nanti orang lupa.

“Tapi tengok ramai rakan artis yang keluarkan lagu ketika norma baharu ini dan respon agak memberangsangkan. Jadi saya ambil keputusan untuk keluarkan juga sekarang,” katanya.

Jelas Syafiq, rangka promosi lagu sebenarnya masih boleh giat dilakukan menerusi platform media sosial.

“Pada saya promosi menerusi media sosial itu boleh saja. Tapi tak boleh nafikan impak aktiviti promosi di lapangan lebih berkesan.

“Kalau bukan Covid-19, boleh buat persembahan pentas dan aktiviti jelajah,” katanya.

Syafiq berkata demikian menerusi sidang media pelancaran lagu Kau Bidadari secara virtual, baru-baru ini.

Difahamkan, lagu tersebut sebenarnya sudah dirakam sejak 2019 dan kini Kau Bidadari sudah boleh didengar menerusi platform penstriman.

Malah, video muzik lagu ini telah dimuat naik dalam saluran YouTube MVM Music sejak 14 Jun lalu dan hingga kini sudah ditonton lebih 68,000 kali.