WATCH
Lampu LED atau HID, mana satu pilihan anda?
Dalam dunia automotif, penggunaan lampu sebagai sumber pencahayaan adalah penting terutamanya pada waktu malam dan ketika cuaca buruk.
Apabila bercakap tentang lampu, selain daripada halogen yang boleh dikatakan jenis paling biasa dijumpai, pemandu selalunya mempunyai pilihan antara LED dan HID. Jadi apakah perbezaan antara kedua-dua jenis lampu ini?

LED (Light Emitting Diode)
LED terkenal dengan kecekapan dan jangka hayatnya yang panjang. Ia menghasilkan warna tunggal dan tenaga elektrik yang digunakan adalah sangat kecil. Seperti lampu HID, lampu LED juga memerlukan projektor khusus untuk mengoptimumkan pencahayaan supaya titik lampu difokuskan apabila digunakan sebagai lampu hadapan.
Lampu LED sesuai digunakan sebagai lampu nyalaan siang (DRL), lampu brek serta lampu penunjuk pada papan pemuka. Harga mentol LED yang berkualiti agak tinggi iaitu antara RM65 hingga RM200 seset, namun ia mempunyai jangka hayat sehingga 15,000 jam penggunaan.

HID (High Intensity Discharge)
Penggunaan lampu jenis HID menjadi semakin popular sekitar tahun 2000 dan ia masih boleh dikatakan baru dalam dunia automotif. Ia dapat memancarkan cahaya yang lebih terang berbanding lampu halogen dengan menggunakan tenaga yang lebih kecil iaitu kira-kira 35 watt. Cahaya yang dihasilkan berwarna putih dan sangat terang sehingga boleh menyilaukan pandangan pemandu yang datang dari arah bertentangan.
Oleh itu, penggunaan lampu HID perlu disertai dengan projektor yang boleh mengarahkan cahaya ke arah jalan supaya pemandu boleh menumpukan perhatian, selain dapat mengelakkan pengguna jalan raya yang lain daripada menjadi buta. Ia dikatakan lebih cekap dan terang namun kemampuannya untuk menembusi kabus tidak setanding lampu halogen.
Jangka hayat HID adalah sekitar 2,000 jam dan harganya lebih mampu milik iaitu sekitar RM50 hingga RM100 seset. Walaupun begitu, ia mempunyai keamatan cahaya yang lebih tinggi berbanding LED iaitu dari 6000 hingga 8000 lumens.
Bagaimanapun, untuk kegunaan harian, tahap keamatan sekitar 2,500 hingga 3,000 lumens sudah cukup untuk menerangi jalan tanpa menyebabkan silau kepada pengguna jalan raya yang lain.
Must-Watch Video