Bagi penduduk di sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pasti mereka sudah biasa mendengar laungan azan daripada Hazizul Masdin sejak 2016.

Kini, Hazizul atau mesra dengan panggilan Ustaz Zoul, 38, melancarkan single pertamanya yang berjudul Ahlan Ya Ramadan dengan kerjasama komposer Daqmie (Azmee Abdul Manap).

Sebelum ini beliau hanya memuat naik lagu-lagu dendangannya di sosial media sahaja dan pernah viral sewaktu melaungkan azan kepada pelancong dari Jepun yang melawat masjid Negeri Selangor.

Kesempatan untuk merakam lagu terjadi apabila beliau bertemu dengan Daqmie yang juga seorang penyanyi terkenal yang banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir bagi rakaman lagu-lagu nasyid dan kerohanian.

“Sebenarnya, sewaktu bertemu dengan Daqmie, saya berhasrat nak minta dia buatkan susunan muzik untuk saya buat lagu cover sempena Ramadan. Dia pula mencadangkan kepada saya supaya mengeluarkan single sendiri untuk Ramadan ini daripada buat cover.

“Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, saya tak fikir lama dan terus bersetuju dengan cadangan Daqmie. Lagu Ahlan Ya Ramadan adalah ciptaan sepenuhnya daripada saya, termasuk liriknya,” katanya.

Tambah Ustaz Zoul, Ahlan Ya Ramadan yang menampilkan genre nasyid itu adalah lagu yang menjurus kepada irama padang pasir dan berentak rancak bagi memeriahkan suasana Ramadan.

Manakala, video muzik lagu tersebut telah siap di rakam disekitar masjid negeri dan suasana padang pasir pula dirakam di Melaka.

“Ahlan Ya Ramadan adalah single solo pertama saya. Sebenarnya, saya adalah anggota dan ketua kumpulan nasyid Dvision tapi kami belum pernah menghasilkan lagu rakaman. Semua lagu ciptaan saya untuk Dvision sekadar untuk persembahan sahaja.

“Alhamdulillah sebelum saya keluarkan single solo ini, saya terlebih dahulu berbicara dari hati ke hati dengan sahabat lain dalam kumpulan kerana saya bukan keluar daripada Dvision, sekadar nak keluarkan single untuk diri sendiri,” katanya yang mendapat sokongan penuh daripada anggota Dvision untuk projek solonya itu.

Ketika ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara kerjaya sebagai penyanyi nasyid dan tanggungjawabnya sebagai bilal Ustaz Zoul berkata dia sudah memikirkan tentang perkara tersebut.

Selain tugas hakikinya sebagai bilal, Ustaz Zoul juga merupakan tenaga pengajar dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk Akademi Muazzin, Maulana Edutainment dan Zoul Creative Studio.

“Sebenarnya bernasyid dan tugasan saya sebagai bilal ada kaitan dan kesinambungan. Ketika saya sertai nasyid di situlah saya belajar bab vokal, bagaimana nak mengawal suara dan pastikan suara kita dalam keadaan baik dan perkara tersebut dipraktikkan juga dalam tugasan sebagai bilal.

“Dua-dua saling berkait rapat dan berkaitan dengan seni suara. Setakat ini tiada masalah kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai bilal dan bergelar penyanyi nasyid,” jelasnya.

Bagi Ustaz Zoul, beliau percaya nyanyian juga merupakan salah satu cabang untuk menarik perhatian orang di luar sana untuk mendekati agama Islam.

Tegasnya, dalam usaha untuk mengembangkan dakwah, bukan sahaja tertakluk kepada ceramah, percakapan atau berhujah sahaja, sebaliknya nyanyian juga merupakan satu metadologi untuk berdakwah.

Single Ahlan Ya Ramadan edaran Saudagar Seni boleh didengari di semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.