Seorang penumpang yang didakwa menyebabkan gangguan terhadap penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH122 dalam penerbangan dari Sydney, Australia ke Kuala Lumpur telah ditahan.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan memaklumkan lelaki berusia 45 tahun itu ditahan tanpa sebarang pergelutan dan dijangka didakwa lewat malam tadi.

"Semua penumpang telah dipindahkan dari pesawat berkenaan.

"Tiada sebarang ancaman terhadap masyarakat," katanya AFP dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini.

AFP menambah pihak tidak akan mendedahkan operasi yang diambil tetapi pelan tindak balas kecemasan telah digubal, selain pemindahan penumpang telah dibuat sebaik sahaja keadaan dikenal pasti selamat.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam satu kenyataan turut mengesahkan insiden berkenaan.

Jelas syarikat penerbangan itu, demi kepentingan keselamatan, komander penerbangan membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney.

Penerbangan tersebut membawa 194 penumpang dan lima kru.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan penerbangan Malaysia Airline ke Kuala Lumpur dari Sydney terpaksa berpatah balik susulan "insiden kecemasan" di udara.

Sumber: Awani