Gara-gara membuat lebih 300 panggilan telefon melalui nombor rasmi sebuah balai polis di India, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun.

Menerusi kenyataan pihak pendakwaan, tertuduh telah menghubungi pegawai wanita di balai polis tersebut dengan berniat untuk memenuhi keinginan seksualnya.

India Today melaporkan Hakim Sajini BS mendapati tindakan suspek menyebabkan ketidakselesaan, gangguan mental dan menimbulkan rasa rimas terhadap kakitangan yang bekerja di balai polis tersebut.

Tindakan suspek itu turut menjejaskan tugas mereka untuk menjawab panggilan kecemasan dan aduan daripada orang awam.

Dalam laporan yang sama, Sajini turut menegaskan bahawa panggilan melalui nombor telefon rasmi balai polis tidak boleh dijadikan sebagai interaksi secara peribadi.

Susulan perintah mahkamah, suspek disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 354 A (1)(ii) Kanun Keseksaan India iaitu hukuman bagi kesalahan mengintai dan 120(o) Akta Polis Kerala kerana mengganggu ketenteraman awam.

Mahkamah Kerala kemudian menjatuhkan hukuman penjara serta denda RM829 (15,000 Rupee) terhadap lelaki tersebut.

Sumber - India Today