gempak
  • Utama
  • Video
  • Rancangan
  • Gempak Most Wanted
  • Salam Muslim
  • Zon Lawak
  • Peraduan
  • Rojak Daily
  • Daftar
  • Daftar
gempak
  • Utama
  • Video
  • Rancangan
  • Gempak Most Wanted
  • Salam Muslim
  • Zon Lawak
  • Peraduan
  • Rojak Daily
BERITA
Israel Larang Rakyatnya Larikan Diri, Tutup Lapangan Terbang Utama - “Kami Tidak Akan Luluskan”
HIBURAN
Iqbaal Ramadhan, Baale Dikelilingi Peminat Wanita: “Saya Tidak Kisah Lelaki Atau Perempuan…”
HIBURAN
Che Ta Titip Pesanan Untuk Kaum Wanita Jika Suami Berlaku Curang - “Orang Perempuan Jangan Terus…”
  • Polisi Privasi
  • Terma Pengguna

Gempak | Hakcipta Terpelihara © 2024 Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd 199201008561 (240064-A)

BERITA

Lelaki Dipenjara 40 Tahun, 24 Sebatan Bunuh Ibu Bapa

gempak
Gempak
18/06/2025
10:39 MYT
Sponsor Banner
Lelaki Dipenjara 40 Tahun, 24 Sebatan Bunuh Ibu Bapa
Seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu bapanya yang mayat mereka ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di Kampung Sungai Penchala dijatuhi hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44, dan memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap 9 Dis 2023.
Muniandy berkata mahkamah mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius sehingga meragut nyawa ibu dan bapanya.
"Hukuman adalah berbentuk pencegahan. Pengakuan bersalah tertuduh menunjukkan keinsafannya. Walau apa pun sebab tertuduh tidak berhak membunuh ibu bapanya.
"Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman itu berjalan serentak," katanya.
Terdahulu, Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields ASP Mohd Hasni Hussin mengemukakan 73 ekshibit kepada mahkamah antaranya pisau, mata pisau, meja kayu dan pakaian.
Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam Mohd Ruzaini Zulkifli mewakili Afendi memohon agar anak guamnya dijatuhi hukuman penjara dan maksimum 12 sebatan kerana tertuduh mengaku bersalah pada peringkat awal walaupun telah dinasihatkan oleh peguam untuk mempertimbangkan semula pengakuannya itu.
"Ini menunjukkan tertuduh menyesal dengan tindakannya itu serta mampu melakukan pembaharuan dan pemulihan.
"Disebabkan kes ini, tertuduh telah kehilangan semua ahli keluarganya yang mana adik-beradik dan saudara-mara telah mengabaikan tertuduh. Fakta ini adalah satu hukuman kepada tertuduh," katanya.
Selain itu, Mohd Ruzaini berkata tiada bukti bahawa tertuduh telah merancang untuk menyerang atau mempunyai motif untuk membunuh ibu dan bapanya.
"Keadaan sebelum pembunuhan menunjukkan bahawa salah faham secara tiba-tiba berlaku antara mereka. Ini akan menafikan sebarang cadangan bahawa ia adalah pembunuhan terancang oleh tertuduh," kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah pula berkata dua nyawa hilang tanpa sebab munasabah dan nyawa yang terkorban itu merupakan dua individu yang membesarkan tertuduh.
"Dalam kes ini kita tidak tahu kenapa tertuduh mengambil tindakan drastik untuk membunuh ibu bapanya.
"Mengambil satu nyawa itu adalah kesalahan besar, ini pula mengambil dua nyawa yang membesarkan tertuduh sejak kecil dan salah seorangnya adalah yang melahirkan tertuduh.
"Mengambil kira keseriusan tertuduh mengambil nyawa kedua ibu bapanya, hukuman mati wajar dikenakan terhadap tertuduh.
"Sekiranya tiada hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh, saya percaya tertuduh sendiri sudah merasai kesan perbuatannya apabila saudara-maranya tidak datang melawat dan pegawai penyiasat sendiri menyatakan tertuduh disisihkan oleh keluarga akibat kejadian ini," katanya.
Pada 27 Nov 2024, Muniandy memerintahkan Afendi menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat pada 6 Sept 2024 adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
Afendi didakwa membunuh Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan Darlisma Njatu Saleh, 72, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini, pada 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan mayat suami isteri warga emas ditemukan di ruang tamu kediaman mereka dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh selepas berlaku pergaduhan antara lelaki berkenaan dengan ibu bapanya. -- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Penjara
#Bunuh
#Sebatan
#Sungai Penchala
Must-Watch Video