Berita
Lelaki Halau Wanita Keluar Dari Masjid Kerana Tidak Bertudung, Jadi Viral
Tindakan seorang lelaki menengking dan menghalau seorang wanita tidak bertudung dari masjid menjadi tular di media sosial.
Video berdurasi 15 saat itu dirakamkan oleh seorang wanita dan telah dimuatnaik di laman Facebook miliknya Lisza Laressa dan mendapat perkongsian lebih 12,000 dan ditonton lebih 826,000.
Pemilik itu juga merupakan individu yang 'ditegur' kerana tidak bertudung di dalam masjid.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada lewat petang semalam di sebuah masjid di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Lisza bersama beberapa ahli keluarganya singgah di masjid kerana ingin berteduh daripada hujan lebat dan kilat.
Namun, tindakan mereka sekeluarga mengundang rasa tidak puas hati seorang pemuda yang bertindak menghalau wanita itu keluar dari masjid atas alasan tidak menghormati tempat ibadat.
"Ini masjid kan? Ini masjid kan? Kau tu tidak pakai tudung, tolong hormat masjid. So kau boleh keluar sekarang!" cerita wanita itu.
Bagaimanapun, selepas beberapa minit kemudian lelaki itu sekali lagi datang dan menghalau keluarga itu keluar dari masjid.
Situasi tegang itu cuba dileraikan oleh bapa wanita terbabit yang memaklumkan isterinya (ibu kepada Lisza) sedang makan dan menantikan hujan reda sebelum beredar.
Jelas Lisza lagi, pemuda itu memperkenalkan dirinya sebagai polis bantuan yang bertugas di kawasan terbabit.
Keluarga itu akur dan beredar keluar dari kawasan masjid.
Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Facebook Lisza Laressa
Must-Watch Video