Berita
Lelaki Ini Tinggal Kerjaya Kontraktor Untuk Jadi Petani, Rupanya Pendapatan Lebih Lumayan!
Seorang kontraktor binaan nekad meninggalkan kerjayanya dengan mengusahakan tanaman kacang bendi dan kacang panjang sehingga mampu memperoleh pendapatan bulanan RM120,000 sebulan.
Zulkifli Abu Hassan, 53, berkata tanaman itu diusahakan di atas tanah milik seorang peladang kelapa sawit yang disewa seluas kira-kira tujuh hektar di Kampung Paya Palas, Pendang sejak dua tahun lalu.
Katanya, tempoh tanaman yang singkat serta harga pasaran yang stabil menyebabkan dia tekad meninggalkan karier sebagai kontraktor yang sering dihambat dengan peningkatan kos bahan binaan akhir-akhir ini.
"Jika dibandingkan sebelum ini saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sesebuah projek di samping kenaikan kos bahan binaan, jadi saya mengambil keputusan beralih bidang menanam sayuran yang lebih cepat memberi hasil dan harga yang baik dengan dibantu lebih 20 pekerja.
"Selepas selesai menyiapkan sebuah masjid di Alor Setar, saya menggunakan duit simpanan dan untung pembinaan masjid berkenaan sebagai modal awal, dan alhamdulillah berkat pekerjaan saya itu, dapatlah memulakan tanaman dan membeli pam air, benih dan paip," katanya.
Setakat ini, Zulkifli berkata, beliau mampu mengutip sekitar 1,000 kilogram kacang bendi untuk dijual kepada pemborong yang datang ke ladangnya dengan harga RM4 sekilogram.
"Saya berpuas hati dengan pekerjaan ini, kerana kesemua pokok yang ditanam tumbuh subur dan membuahkan hasil seperti yang diharapkan dan insya-Allah saya bercadang memperluas kawasan tanaman ini nanti," katanya.
Sumber: BERNAMA
Must-Watch Video