Seorang lelaki yang tular di media sosial kerana menendang seorang warga emas, telah ditahan pihak polis.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas memukul bapa tirinya berusia 71 tahun yang enggan memberikannya wang untuk membeli bekalan dadah di Jalan Masjid Kampung Ruat, Yan, Kedah, semalam (Selasa).

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata pihaknya terdahulu menerima laporan daripada mangsa sekitar jam 10.45 pagi tadi.

Berdasarkan laporan, suspek dipercayai mengamuk selepas tidak diberikan wang untuk membeli dadah dan menendang bapa tirinya sebanyak dua kali pada bahagian dada serta muka.

A post shared by Fazlin 1215 (@act431_775)


Terdahulu, tular di media sosial lelaki tersebut bertindak ganas dengan menendang bahagian belakang seorang warga emas disaksikan seorang wanita dipercayai ibunya.

Ibu suspek yang tidak mampu berbuat apa-apa hanya mampu menangis dan meraung melihat tindakan anaknya itu.

Selain itu, video lelaki tersebut ‘diberi pengajaran' oleh penduduk kampung turut tular dan rata-rata warganet berharap agar dia dikenakan hukuman setimpal.

A post shared by Fazlin 1215 (@act431_775)