Sekilas
- Nelysa Kay, Naib Juara Dewi Remaja 2025, tidak kisah jika peminat buat teori percintaan dengan rakan pelakon kerana ia sekadar hiburan.
- Pelakon baru ini terbuka terima kritikan untuk perbaiki mutu lakonan terutama dalam drama terbarunya, School of Stars (S.O.S).
- Walaupun sibuk berlakon, Nelysa tetap komited untuk teruskan kerjaya nyanyian dan telah keluarkan tiga lagu selepas Dewi Remaja.
Naib Juara Dewi Remaja 2025, Nelysa Kay mengakui tidak kisah jika dirinya dikaitkan dengan teori percintaan bersama mana-mana rakan pelakon.
Menurut Nelysa, dia menganggap perkara itu sebagai hiburan terutama apabila melihat peminat membuat andaian mengenai hubungan mereka di dalam dan di luar set penggambaran.
“Drama saya seterusnya banyak bercinta dengan karakter. Ia mungkin seperti menyeronokkan kalau ada peminat buat teori mengenai di dalam dan luar set. Saya okay sahaja asalkan individu itu terdiri daripada rakan terdekat saya,” katanya kepada Gempak.
Nelysa berkata demikian ketika ditemui di My Escapes 2026 yang berlangsung di Genting Highlands, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nelysa yang bakal menerajui drama School of Stars (S.O.S) turut mengakui terbuka menerima sebarang kritikan bagi membantu dirinya memperbaiki mutu lakonan.
Jelasnya, sebagai pelakon baharu, dia menerima segala teguran dan sering bertanya kepada pihak produksi sepanjang berada di set penggambaran.
“Untuk berlakon, saya memang terbuka untuk kritikan kerana saya masih baharu dalam industri. Dekat set pun, saya banyak bertanya dan saya meraikan semua komen kerana ia adalah drama pertama saya sebagai peneraju utama.
“Saya teringin nak digandingkan dengan Amelia Handerson, Siti Khadijah Halim, Daiyan Trisha dan Mierul Aiman,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nelysa menegaskan penglibatannya dalam bidang lakonan tidak akan menyebabkan dia memperlahankan kerjaya sebagai penyanyi.
“Untuk karier menyanyi, selepas Dewi Remaja saya dah keluarkan tiga lagu. Saya tidak akan perlahankan karier saya sebagai penyanyi,” kongsinya.
School of Stars (S.O.S) mengisahkan lima anak muda yang berusaha mengejar impian masing-masing, selain berdepan pelbagai cabaran dalam perjalanan mereka.
Dalam usaha membuktikan bakat, mereka turut melalui kisah cinta, persahabatan dan proses mengenali diri sendiri.
School of Stars (S.OS) bakal menemui penonton mulai 18 November ini, setiap Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di Astro Ria.