Astro Originals, drama bersiri Liar menerima sambutan yang hebat daripada penonton pelbagai latar belakang, bangsa dan usia sepanjang tayangan sejak 25 Mac lalu.

Membawakan tema universal, Liar telah melabuhkan tirainya dengan episod ke-12 pada Sabtu, 10 Jun di platform On Demand dan di Astro RIA saluran 104 pada Isnin, 12 Jun.

Liar mengisahkan tentang dua insan yang bertemu dalam sebuah temu janji, namun semuanya berubah di luar jangkaan pada hari keesokannya. Seorang telah memperdaya, manakala seorang lagi diperdaya. Liar juga adalah naskah adaptasi antarabangsa daripada calon siri thriller terbaik di BAFTA Awards dan British Screenwriters’ Award.

Bagi meraikan kejayaan siri ini, sebuah tayangan khas Episod Akhir telah diadakan pada Jumaat, 9 Jun istimewa buat peminat yang teruja menantikan kemuncak episod yang penuh dengan teka-teki berkonsepkan ‘whodunnit thriller’, di sebuah hotel terkemuka dengan kehadiran golongan berpengaruh yang merupakan penonton setia siri ini.

Sementara itu Penerbit Eksekutif Liar dan juga merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad bersama Pengarah Liar, Imri Nasution dan barisan pelakon utama, Tiz Zaqyah, Tony Eusoff dan Aniq Suhair turut bertemu dan beramah mesra dengan para peminat siri ini.

Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah YAM Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Hajjah Dato’ Aishah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, YAM Tengku Datuk Seri Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, YAM Datin Paduka Setia Tunku Irinah binti Almarhum Tuanku Jaafar, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda.

Nama besar dalam industri juga turut menghadiri adalah pereka fesyen Tom Abang Saufi, Melinda Looi, Khoon hooi, Rizman Nordin, Datuk Seri Shah Rezza; Pengerusi & Pengasas Vision New Media, Lim Beng Teck; Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio, Datuk Norman Abdul Halim, selebriti Che Puan Sarimah Ibrahim dan suami Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, Datuk Yusry Abdul Halim, Datin Lisa Surihani, Sazzy Falak dan suami Nazril Idrus, Daiyan Trisha, Mierul Aiman dan Fabian Loo.

Drama bersiri Liar diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Double Vision dan All3Media Internasional. Siri asal Liar merupakan terbitan Two Brothers Pictures untuk ITV dan Sundance TV pada tahun 2017.

Astro Originals sinonim dengan kualiti premium untuk drama bersiri telah mencetuskan fenomena tersendiri dengan membawakan pelbagai cerita dan genre seperti KUDETA, One Cent Thief dan High Council.

Astro Originals sebelum ini menampilkan deretan drama siri premium daripada pelbagai genre dan nilai hiburan berbeza serta olahan jalan cerita segar yang diinspirasikan dari pendedahan isu-isu yang berlaku di kalangan masyarakat seperti ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ (francais filem komedi nombor 1 negara), ‘Projek: Anchor SPM’ (memperkenalkan genre coming-of-age), ‘I-Tanggang’ (isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy), ‘Dukun Diva’ (kisah female con artist), ‘Kuasa’ (fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan), ‘Histeria The Series’ (kesinambungan filem box office 2008, Histeria), Murder By Moon Light (genre Witty Murder Mystery “Whodunnit”), One Cent Thief (naskhah ‘heist’ Malaysia menerusi rompakan 1 sen) dan High Council (pembongkaran kegiatan gengsterisme sekolah yang pernah menggemparkan negara).

Selepas Liar, Astro Originals bakal membawakan Jack Yusof lakonan hebat Datuk Rosyam Nor dan juga merupakan kemunculan pertama beliau menerusi watak utama di dalam drama siri selepas lebih 10 tahun, bermula 17 Jun, setiap Sabtu bermula jam 12 tengah malam dan di Astro RIA saluran 104 bermula dan 26 Jun, setiap Isnin, jam 9.00 malam.