Laman Utama
Lima Tahun Bersama Akim & The Majistret, Akim Ahmad Kembali Bergerak Solo
Lima tahun mencipta magis bersama kumpulan Akim & The Majistret (ATM), vokalisnya, Akim Ahmad kini kembali bergerak solo.
Namun, ia tidak bermakna Akim, 30, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad sudah meninggalkan kumpulan itu.
Sebaliknya, Akim hanya terbabit dalam sebuah projek lagu atau single solo berjudul ‘Bayang’.
Lagu ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim, Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman itu memberi nafas baharu kepada muzik Akim sekali gus menampilkan sisi berbeza Akim sepanjang 12 tahun pembabitannya sebagai anak seni.
Menurut Akim, Bayang adalah lagu yang cukup istimewa kerana ia adalah hasil cetusan idea dia bersama isteri tercinta juga penyanyi terkenal, Stacy.
“Lagu Bayang ini sangat berbeza dengan single saya sebelum ini. Ia boleh disifatkan evolusi saya sebagai seorang penyanyi. Dari segi bunyi dan muzik, ia juga berbeza dengan ATM.
“Muzik Bayang lebih mengenengahkan instrumen elektronik. Malah, ia sangat istimewa kerana merupakan hasil cetusan idea saya bersama dengan Stacy.
“Disebabkan lagu Bayang ini adalah projek solo, saya mahukan sesuatu yang baharu. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo.
“Tapi kali ini saya nak tunjukkan sisi berbeza pula. Setelah lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad, penyanyi solo.
“Jadi, inilah buah tangan terbaru untuk peminat yang rindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, lagu Bayang ini satu lagi evolusi muzik dan kerjaya saya,” katanya.
Menurut Akim, lagu Bayang sudah lebih setahun disimpan sebelum dirakam dan seterusnya dilancarkan sebagai sebuah single solo.
“Lagu Bayang ini sudah ada dalam simpanan saya sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi. Stacy yang mendengar lagu ini mencadangkan kepada saya untuk merakamkan lagu ini. Tapi, saya cakap nanti dulu.
“Stacy cakap lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tapi, ketika itu saya belum dapat tangkap lagi melodi dan muzik lagu ini.
“Tidak sangka kebetulan ada projek terbaru daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam sebuah lagu secara solo.
"Lagu yang sesuai pun dah ada jadi saya ambil keputusan untuk terus merakam lagu Bayang. Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Itu yang saya cakap, lagu ini antara kerjasama istimewa kami. Ada ‘sentimental value’”, katanya.
Berkongsi mengenai lagu Bayang yang baru dilancarkan minggu lalu, Akim berkata liriknya mengisahkan tentang kehidupan seharian.
Ditanya status ATM, Akim berkata dia dan kumpulan itu akan terus aktif.
“ATM masih ada. Sekarang ini, kami dalam perancangan untuk mengumpul material bagi projek album. Perlukan waktu untuk cari material yang berkualiti. Tiada istilah ATM berhenti seketika. Baik saya muncul secara solo mahu pun bersama ATM, semua kena jalan,” katanya.
Lagu Bayang boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan YouTube Music.
Video lirik rasmi lagu ini juga juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music.
Must-Watch Video