Sekilas
- Kamal Adli menjelaskan kenyataannya mengenai fasa terendah ketika penggambaran filem Takluk 2: OP Daulat bukan bertujuan membuka kisah lama atau menyebut mana-mana pihak.
- Dia memohon maaf kepada bekas isteri, Uqasha Senrose, atas salah faham yang timbul dan menegaskan tiada niat untuk mencetuskan pergaduhan.
- Kamal dan Uqasha kini berkomunikasi baik demi anak mereka selepas sah bercerai pada Januari 2024.
Pelakon, Kamal Adli tampil menjelaskan kenyataannya mengenai fasa terendah ketika menjalani penggambaran filem Takluk 2: OP Daulat yang dipercayai melibatkan bekas isterinya, Uqasha Senrose.
Menurut Kamal, dia tidak berniat untuk membuka kisah lama atau menyebut mana-mana pihak, sebaliknya hanya ingin menghargai mereka yang menemaninya sepanjang detik sukar itu.
"Sebenarnya tiada salah, tiada apa-apa pun. Ia bukanlah salah bual. Ketika sidang media Takluk, saya ditanya apa cabaran sepanjang penggambaran itu.
"Ketika itu, niat saya sebenarnya nak berterima kasih kepada krew dan mereka yang terlibat kerana banyak beri sokongan pada saya untuk menghabiskan filem tersebut. Kerana ketika itu adalah fasa down saya,"katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Kamal berkata perkara tersebut hanyalah salah faham dan dia tidak mahu mencetuskan sebarang pergaduhan dengan Uqasha.
Malah, dia turut memohon maaf kepada Uqasha atas tindakannya yang mungkin telah mengguriskan perasaannya.
"Ini hanyalah salah faham dan saya tiada niat nak tembak sesiapa. Dari pihak saya, saya nak minta maaf. Saya tak mahu gaduh dan saya pun sedang gembira bersama anak. Dengan Uqasha pun tiada masalah. Kami banyak berkomunikasi antara satu sama lain terutama melibatkan Hawra.
"Kalau perkara itu buat dia terasa, saya minta maaf pada dia dan netizen. Saya harap tiada lagi sesi kecam mengecam. Cerita dah lama habis dan basi. Saya minta maaf sekali lagi. Saya terkejut dan saya harap perkara ini tidak dipanjangkan lagi. Saya faham dia nak hidup dengan tenang,"ujarnya.
Terdahulu, Kamal mengakui berada pada titik terendah dalam hidup ketika menjalani penggambaran filem Takluk 2: OP Daulat.
Menurutnya, dia pernah bertolak ke Kuantan selepas selesai urusan di mahkamah bagi menjalankan penggambaran pada belah malam.
Bagaimanapun, susulan itu, Uqasha turut mempersoalkan tindakan Kamal yang didakwa masih mengungkit kisah lama mereka.
Sekadar info, Kamal dan pelakon Uqasha Senrose sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang anak perempuan yang dilahirkan pada 27 April 2024.